‘Dulu kena pinjam duit, sekarang tidak lagi’

Iklan
Setiap ringgit bantuan yang dibelanjakan rakyat, denyut ekonomi Malaysia terus bergetar dari kampung hingga ke bandar.

KOTA BHARU - Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diperluaskan di bawah Belanjawan 2026 kepada sembilan juta penerima dijangka terus meningkatkan kuasa beli rakyat, khususnya penduduk luar bandar.

Langkah itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah dan membantu peruncit, malah turut mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar dengan mewujudkan ekosistem aliran tunai domestik yang memberi kesan langsung kepada perniagaan kecil tempatan.

Iklan
Iklan

Melalui 8,400 rakan SARA termasuk 2,000 kedai runcit kecil, bantuan ini berperanan sebagai pemangkin rantaian ekonomi baharu, apabila wang bantuan yang diterima rakyat kembali berputar dalam pasaran setempat.

Sebelum adanya bantuan STR dan SARA, seorang ibu tunggal perlu meminjam duit daripada saudara-mara untuk membeli baju raya dan menunggu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak sementara menunggu gaji.

Iklan

HARREANTIE

Namun semenjak Kerajaan Madani memperkenalkan kedua-dua bentuk bantuan tersebut yang dinikmati oleh seramai sembilan juta orang di seluruh negara, ia memberikan satu kelegaan buat Harreantie Fauzi, 44, dari Selising, Pasir Puteh serta kegembiraan kepada tiga anaknya berusia 10 hingga 16 tahun.

Iklan

"Dulu nak beli baju raya anak-anak kena pinjam duit. Sekarang tidak lagi, duit STR saya simpan dan guna untuk beli kelengkapan mereka.

"Begitu juga dengan keperluan dapur, saya manfaat sepenuhnya SARA. Duit gaji RM600 sebulan sebagai pembantu di sebuah agensi milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digunakan untuk membayar sewa rumah serta beli barangan basah," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebagai ibu tunggal masalah kewangan adalah isu utama semenjak kematian suami namun dengan beberapa bantuan yang diperolehi membolehkan tidur malamnya lena apabila melihat anak-anak cukup makan, serta kelengkapan mereka dapat dipenuhi.

Begitu juga bagi peniaga gerai makanan, Chua Ju Been, 73, dari Jalan Kelocor, di sini apabila wang bantuan STR digunakan sepenuhnya untuk membeli bekalan ubat darah tinggi serta pemeriksaan kesihatan di klinik swasta.

Ju Been dan isteri berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat tentang nasib rakyat seperti mereka.

"Itu pun masih ada lagi baki dan saya simpan untuk kegunaan kecemasan. Ada kala digunakan untuk bantu jiran tetangga yang memerlukan.

"Saya serta isteri, Lee Ah Moy, 68, berniaga kecil-kecilan menjual makanan ringan kanak-kanak. Keuntungan yang diperolehi cukup untuk kehidupan kami berdua serta tidak perlu bergantung kepada anak-anak. Dua orang anak kami berusia 30 dan 31 tahun sudah berkeluarga," katanya.

Ju Been berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat tentang nasib rakyat seperti mereka dan wang yang diterima sangat disyukuri.

Beliau berkata, setiap bulan cukup dengan SARA untuk membeli barangan dapur seperti beras, pencuci, biskut dan banyak lagi.

Penerima SARA, Tharuman Arjunam, 47, dari Kampung Kubur Kuda, di sini pula berkongsi kegembiraan apabila SARA banyak meringankan beban dia serta isteri yang bekerja swasta.

THARUMAN

"Duit lebihan beli barangan dapur dapat kami simpan untuk keperluan dua anak kami yang berusia 14 serta 20 tahun.

"Seronok bila setiap bulan dapat berbelanja lebih daripada bajet yang ditetapkan sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap barangan untuk SARA dipelbagaikan lagi supaya mereka mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sekarang.

Tidak ketinggalan penerima Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang, Osman Anjang, 54, memberitahu sebagai rakyat Malaysia dia begitu teruja setiap bulan apabila ingin mendapatkan bekalan dapur.

OSMAN

"Kalau dulu boleh beli sedikit, sekarang sampai tidak cukup tangan. Terima kasih kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memperkenalkan bantuan SARA dan juga STR," katanya.

Kaum Siam dari Kampung Kok Seraya, Tumpat, Manisara Hom Temson, 53, yang juga merupakan ibu tunggal berkata, dia yang perlu menyara seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun serta nenek, 93, tidak lagi memikirkan soal keperitan hidup.

MANISARA

Ujar dia gaji RM1,200 yang diperolehi sebagai pembantu kedai makan dapat digunakan sepenuhnya untuk urusan lain seperti baiki kereta jika rosak, serta dijadikan simpanan.

Katanya, kalau diikutkan jumlah tersebut tidak mencukupi dalam keadaan barangan yang sudah naik harga namun dengan adanya STR dan SARA, dia dapat bertenang.

"Duit STR saya gunakan untuk membeli ubat-ubatan nenek serta kelengkapan anak. Untuk barang dapur saya gunakan sepenuhnya SARA.

"Bantuan demi bantuan yang diberikan membuat saya sebagai ibu tunggal merasa seperti dihargai walaupun tanpa suami disisi. Saya berharap ia dapat diteruskan sampai bila-bila," katanya yang kematian suami.

Bagi penerima STR bujang, Gan Beir Hwa, 32, dari Wakaf Bharu, Tumpat walaupun jumlah yang diterima sekitar RM150 sahaja namun ia digunakan sepenuhnya untuk dijadikan modal bagi perniagaan snek.

Beir Hwa menggunakan bantuan STR yang diterima untuk dijadikan modal bagi perniagaan snek.

Beliau berkata, mungkin bagi orang lain jumlah itu kecil tetapi baginya ia satu rahmat dan dapat digandakan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana memahami apa yang kami rasai. Walaupun berniaga namun keuntungan tidak banyak dan cukup untuk menyara ibu dan ayah," katanya.

Ekonomi peniaga, peruncit berdenyut semula

Agihan bantuan kerajaan menerusi STR dan SARA bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memberi impak positif terhadap pertumbuhan jualan di premis peruncitan, termasuk pasar raya besar dan kedai runcit tempatan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya merekodkan peningkatan ketara jumlah pelanggan dan transaksi selepas agihan bantuan itu.

AMEER

"Jualan meningkat dengan ketara selepas agihan STR dan SARA. Ini menunjukkan bantuan tersebut benar-benar membantu menggerakkan ekonomi rakyat dan merancakkan aktiviti peruncitan," katanya.

Menurutnya, barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, susu, lampin bayi serta produk kebersihan diri dan rumah menjadi antara kategori paling tinggi mencatat peningkatan jualan.

Ujarnya, kategori barangan dapur dan keperluan harian kekal menjadi tumpuan utama pelanggan, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau turut menegaskan, program SARA bukan sahaja membantu rakyat berbelanja tetapi turut menstabilkan permintaan domestik dengan memastikan kuasa beli golongan B40 kekal berterusan.

"Apabila rakyat mempunyai kuasa beli, jualan peniaga runcit tempatan seperti Mydin juga kekal stabil. Dalam masa sama, ia memberi sokongan tambahan kepada produk keluaran tempatan termasuk daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di Selising, Pasir Puteh, Nor Shamimie Abdul Kadir, 38, yang turut menawarkan barangan di bawah SARA, mengakui jualan meningkat sejak bantuan itu diagihkan.

Nor Shamimie (kanan) melayan pelanggan di kedai runcitnya di Selising, Pasir Puteh.

"Dari segi jualan memang ada peningkatan. Orang ramai datang berbelanja, stok pun kena tambah selalu. Risiko barang hendak tamat tempoh pun tidak ada,” katanya yang sudah lapan tahun mengusahakan kedai runcit.

Beliau berkata, barangan asas seperti beras, minyak masak, telur dan sardin menjadi pilihan utama pelanggan serta tidak terlalu berkira tentang jenama.

Menurutnya, jika sebelum ini jenama yang kurang popular mendapat pilihan utama kerana faktor harga namun dengan adanya bantuan SARA serta STR pelanggan membeli apa yang mereka suka.

Nor Shamimie yang menyambut baik pelaksanaan SARA turut berharap senarai barangan yang layak dibeli dapat diperluas.

"Program ini bukan sahaja bagus untuk rakyat tetapi peniaga, cuma kalau boleh tambah lagi kategori seperti buah-buahan, barang sejuk beku dan sayur-sayuran,” katanya.

Beliau menambah, bantuan seperti STR dan SARA bukan sahaja membantu perniagaannya berkembang tetapi juga memberi kelegaan kepada penduduk kampung.

Pelaksanaan STR dan SARA sekali lagi membuktikan bahawa dasar fiskal yang baik bukan sekadar angka dalam belanjawan, sebaliknya memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat.

Apabila orang kampung mempunyai kuasa beli, kedai runcit, pasar raya tempatan berkembang dan produk PKS terus mendapat permintaan, sekali gus menjadikan aliran ekonomi negara lebih seimbang dan berdaya tahan.

Dengan setiap ringgit bantuan yang dibelanjakan rakyat, denyut ekonomi Malaysia terus bergetar dari kampung hingga ke bandar.