KLANG - Sebuah lori tanah yang hilang kawalan semasa menuruni jalan berbukit menyebabkan rempuhan tiga kenderaan lain di lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah, Meru di sini pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd Rahimi Zainol berkata, kemalangan berlaku pada jam 8.57 pagi.
Menurutnya, pemandu lori tanah itu ialah lelaki tempatan berusia 35 tahun dilapor mengalami kecederaan ringan.
"Kesemua mangsa yang terlibat ialah tujuh orang dan seorang daripadanya tidak mengalami kecederaan.
"Enam mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian kemalangan terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Surihan di talian 013-2082327 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.
Dalam kejadian yang tular itu memaparkan sebuah lori tanah merempuh lori sampah dan dua kereta jenis Perodua Myvi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi.