Keputusan rayuan kes saman Hannah Yeoh, Musa Hassan 5 Disember

Iklan
Gambar dari kiri: Hannah Yeoh, Musa Hassan

 

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa menetapkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung kes saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkaitan kenyataan di sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 5 Disember depan.

Iklan
Iklan

Keputusan akan diputuskan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azimah Omar, yang bersidang bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman.

Ketika dihubungi media, peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Hannah mengesahkan perkara berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes yang dibuat secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar, Radzilawatee Abdul Rahman.

Pada 17 Oktober lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan rayuan daripada kedua-dua pihak.

Iklan

Selain Wei Jiet, Hannah turut diwakili peguam-peguam, Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S Ambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden, diwakili peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi menolak saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa adalah fitnah.

Pada 2020, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan, memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan di forum itu pada 30 Januari 2020.

Hannah mendakwa Musa, dalam ucapannya antara lain menuduh beliau menulis buku bertajuk 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan mubaligh agama itu dan Yahudi demi menjejaskan Islam serta Malaysia, selain mengutamakan kepentingan peribadi beliau berbanding negara.