Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar-Trump bincang isu Gaza, perdagangan dua negara

Iklan
Anwar semasa sesi perbualan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai isu dua hala dan global utama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau berkata, pertemuan itu memberi peluang kedua-dua pemimpin memperkukuh hubungan Malaysia-AS khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain membincangkan isu antarabangsa termasuk situasi di Gaza serta usaha keamanan serantau.

Iklan
Iklan

"Kami sudah berhubung melalui telefon dua kali. Beliau (Trump) sangat mesra, menyokong dan mendengar dengan baik.

"Saya mahu menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi menyuarakan pandangan mengenai perkara yang baik untuk Malaysia, AS dan dunia.

Iklan

"(Ia) termasuk isu berkaitan Gaza. Saya menghargai usaha beliau walaupun ada pandangan berbeza, kita harus mengiktiraf hakikat bahawa Trump telah memainkan peranan besar dalam menghentikan sekurang-kurangnya pengeboman di Gaza," katanya semasa sesi perbualan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di sini pada Selasa.

Dalam pada itu Perdana Menteri menjelaskan, hubungan antara kedua-dua negara kekal kukuh walaupun terdapat perbezaan dasar dari semasa ke semasa.

Iklan

Malah menurutnya, Malaysia terus mengamalkan dasar luar yang seimbang dan berprinsip dengan mengekalkan persahabatan serta kerjasama dengan semua kuasa besar termasuk China dan Kesatuan Eropah.

"Ini Malaysia, ini ASEAN, dasar kita berasaskan kepusatan ASEAN. Kita rapat dengan China dan teguh di rantau ini, namun pada masa sama mengekalkan hubungan tradisional dengan AS.

"Sebagai negara dagang, kita terus memperluas hubungan bukan sahaja dengan Eropah, Asia dan Amerika, tetapi juga Amerika Latin dan Afrika Selatan.

"Itu sebabnya, buat pertama kali dalam rangka kerja ASEAN, kita akan menerima kehadiran Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa," jelasnya.