Sanae Takaichi PM wanita pertama Jepun

Iklan
Sanae Takaichi. Foto AFP

TOKYO - Sanae Takaichi, seorang tokoh berperwatakan konservatif, mencipta sejarah pada Selasa apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.

Tokoh berusia 64 tahun itu dikenali sebagai ‘Iron Lady’ Jepun kerana ketegasannya serta kekagumannya terhadap bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.

Iklan
Iklan

Beliau berjaya memenangi undian Parlimen selepas mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) dan membentuk gabungan dengan parti pembangkang Japan Innovation Party (Ishin).

Walaupun pencapaian ini disifatkan sebagai langkah besar bagi wanita dalam politik Jepun, pemerhati berpendapat kejayaan Takaichi bukan simbol kemenangan feminisme.

Iklan

Beliau lebih dikenali sebagai konservatif tegar dengan fokus terhadap pertahanan negara, keselamatan ekonomi dan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.

Sebagai anak didik mendiang Shinzo Abe, Takaichi dijangka meneruskan dasar ‘Abenomics’ dengan perbelanjaan besar dan pelonggaran monetari. Namun, beliau berdepan cabaran getir termasuk memulihkan ekonomi yang perlahan, menangani isu inflasi serta menyatukan LDP yang terjejas akibat skandal kewangan.

Iklan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pernah memuji beliau sebagai “seorang pemimpin berwibawa dan bijaksana”. Kini, dunia menantikan bagaimana ‘Iron Lady 2.0’ ini akan mengemudi Jepun ke arah baharu. - AFP

INFO:

- Pernah menjadi Menteri Keselamatan Ekonomi dengan tumpuan terhadap keselamatan strategik dan kawalan pengaruh China.

- Ini merupakan percubaannya yang ketiga untuk menduduki jawatan tertinggi selepas dua kegagalan sebelumnya.

- Menjadi Perdana Menteri keempat dalam tempoh lima tahun, mencerminkan ketidakstabilan politik dalam parti pemerintah LDP yang dibelenggu skandal.