PRODUK KELIO iaitu Madu Kelulut Multiflora, hasil inisiatif strategik antara Boustead Plantations Berhad (BPlant) dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di bawah Program Ekonomi Kem Madani telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.
Majlis pelancaran tersebut berlangsung sempena Program Madani Rakyat 2025 Zon Selatan di Politeknik Merlimau, Melaka dan merupakan kesinambungan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) antara BPlant dan BAKAT yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 8 September 2025.
BPlant dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi MoU yang ditandatangani Pengarah Urusan BPlant, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Mejar Jeneral Datuk Ts Reizal Arif Tan Sri Ismail, kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan projek penternakan lebah kelulut di kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara.
“KELIO ialah madu kelulut tulen yang dituai daripada sarang lebah kelulut di kawasan taman sekitar kem-kem ATM di seluruh negara.
“Setiap titisan madu ini kaya dengan antioksidan dan enzim semula jadi serta dihasilkan dengan penuh ketelitian oleh ahli BAKAT,” ujar kenyataan tersebut.
Menariknya, jenama KELIO diilhamkan oleh Menteri Pertahanan hasil gabungan perkataan 'KELulut TENtera IO (10)' yang merupakan simbolik kepada semangat juang, ketahanan dan kekuatan warga ATM.
Jelas kenyataan itu, melalui model kerjasama ini, ahli BAKAT akan menternak dan menuai madu kelulut manakala BPlant bertindak sebagai rakan strategik dengan membeli balik madu tersebut pada harga pasaran kompetitif dan memprosesnya menjadi produk premium berpotensi tinggi di bawah jenama KELIO.
“Sebanyak 70 peratus hasil madu akan dibeli semula oleh BPlant manakala 30 peratus akan digunakan oleh BAKAT bagi tujuan latihan, keusahawanan dan pembangunan produk hiliran,” katanya.
Pada masa yang sama, produk KELIO dirancang untuk dipasarkan melalui pelbagai saluran termasuk rangkaian PERNAMA, BH Petrol, platform e-dagang serta saluran runcit strategik terpilih.
Selain produk utama Madu Kelulut Multiflora, potensi produk hiliran seperti Madu Halia dan Madu Tongkat Ali turut akan diteroka bagi menambah nilai dan memperluas pasaran.
BPlant juga akan memastikan produk KELIO diproses mengikut piawaian tinggi termasuk menurunkan kadar kelembapan madu kepada maksimum 22 peratus bagi mengekalkan nutrisi, rasa asli dan jangka hayat yang lebih panjang.
Inisiatif ini menyokong penjenamaan KELIO sebagai produk premium tempatan yang berdaya saing, sekali gus mencerminkan komitmen BPlant untuk memperkukuh segmen perniagaan agro bernilai tambah selain kelapa sawit.
Ia juga menjadi bukti sokongan BPlant terhadap aspirasi kerajaan dalam memperkasa komuniti pertahanan negara melalui model kolaborasi strategik bersama agensi berkaitan.
Pelancaran produk KELIO oleh Perdana Menteri bukan sekadar memperkenalkan satu lagi produk tempatan berpotensi tinggi tetapi melambangkan kejayaan model perkongsian strategik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan komuniti pertahanan negara.
Ia juga seiring dengan aspirasi Ekonomi Madani untuk membina ekosistem ekonomi inklusif yang mampu memberi manfaat terus kepada rakyat, khususnya komuniti keluarga ATM.