KUALA LUMPUR – Hujahan hari pertama bagi empat kes salah guna kuasa membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagi jumlah sama, dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan bermula pada Selasa.
Hujahan lisan oleh pendakwaan dan pembelaan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan berlangsung sepanjang minggu ini sehingga Jumaat.
Prosiding kemudiannya dijangka bersambung pada 27 hingga 31 Oktober di lokasi serupa.
Sebelum ini, perbicaraan di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019 dan berakhir pada 30 Mei 2024 melibatkan 293 hari prosiding dengan 50 saksi pendakwaan serta 26 saksi pembelaan memberi keterangan.
Antara saksi utama termasuk bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas peguam syarikat 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; adinda Sultan Terengganu, Tengku Datuk Rahimah Putri Almarhum Sultan Mahmud dan pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam sementara pembelaan diketuai peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 manakala pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan bekas Presiden UMNO itu membela diri atas semua pertuduhan tersebut.
Prosiding bela diri kemudian bermula pada 2 Disember tahun sama dengan Najib merupakan saksi pembelaan pertama memberi keterangan.
Seramai 26 saksi hadir membela Najib dalam prosiding yang mengambil masa selama 58 hari, berakhir 6 Mei.