HULU SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Batang Kali di sini pada Isnin.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi selepas pokok besar tumbang secara tiba-tiba dan menghempap bahagian hadapan kenderaan jenis Toyota Hilux dipandunya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.14 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 2.35 petang, didapati sebatang pokok besar tumbang menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berada di dalam kenderaan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, operasi menyelamat dijalankan oleh lima anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan dengan berhati-hati memandangkan keadaan pokok yang besar serta struktur kenderaan yang remuk.
"Anggota bomba turut memastikan kawasan sekitar selamat sebelum mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, mangsa yang berusia 23 tahun bekerja sebagai pembantu penyelaras acara di sebuah inap desa di Batang Kali.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat yang menyebabkan sebatang pokok di tepi jalan raya tumbang dan menghempap kenderaan dipandu lelaki itu.
"Mangsa dikeluarkan daripada kenderaan yang dihempap pokok oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Kubu Bharu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ibrahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat yang dilaksanakan malam ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah atau khianat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.