PASIR GUDANG – Seramai 18 individu termasuk tiga pelajar berusia antara 16 hingga 22 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi khalwat di beberapa buah hotel sekitar Pasir Gudang dan Masai, awal pagi Ahad.
Menurut JAINJ, operasi bersepadu bermula jam 10 malam hingga 4 pagi itu turut disertai 15 pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
"Operasi berkenaan dijalankan sempena cuti hujung minggu dan musim perayaan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral dalam kalangan masyarakat Islam.
“Jangan sangka hujung minggu atau musim cuti penguat kuasa tidak bertugas. Tindakan akan tetap diambil terhadap mana-mana individu Islam yang disyaki berkhalwat,” katanya.
Antara yang ditahan termasuk pasangan lelaki berumur 25 tahun dan pasangannya berusia 20 tahun yang masih belajar yang menberi alasan bermalam kerana mendakwa lewat pulang ke asrama.
Turut ditahan, seorang lelaki dari Terengganu berusia 23 tahun dan pasangannya, seorang pelajar berumur 22 tahun dari Johor Bahru.
"Lelaki terbabit memberi alasan penat selepas menempuh perjalanan jauh dan kesesakan lalu lintas.
"Pasangan ketiga pula membabitkan lelaki berusia 24 tahun dari Masai dan pasangannya berumur 16 tahun yang dipercayai masih belajar di Sarawak.
"Mereka mengaku sudah bertunang dan penguat kuasa sedang mengesahkan status pendidikan gadis berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Selain itu ujarnya, seorang lelaki dari Kelantan berusia 22 tahun dan pasangannya turut ditahan, selain lima warga asing empat lelaki warga Indonesia dan seorang warga Pakistan beragama Islam yang disyaki melakukan kesalahan sama.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.