MELAKA – Polis Melaka akan melawat ke sekolah di seluruh negeri bermula Khamis ini sebagai langkah memperkukuh hubungan dengan warga pendidik dan pelajar selain memastikan aspek keselamatan di institusi pendidikan terus terpelihara.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pendekatan itu seiring dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini mengenai keperluan keberadaan polis di sekolah dalam usaha membentuk persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan harmoni.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu akan dilakukan secara rawak (random) di seluruh negeri tanpa mengira sama ada sekolah berkenaan bermasalah seperti mempunyai masalah disiplin yang tinggi atau sebaliknya.
“Kita akan santuni semua sekolah, tidak kira sama ada sekolah itu bermasalah atau tidak.
"Tujuannya bukan untuk menakutkan, tetapi untuk membina kepercayaan serta kerjasama antara polis dengan pelajar dan pihak sekolah," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Exco Belia, Sukan dan NGO Datuk VP Shanmugam di Batu Berendam di sini pada Isnin.
Jelas beliau, lawatan berkenaan akan dijalankan melalui sesi libat urus dan interaksi bersama pelajar serta guru bagi memupuk kefahaman terhadap peranan polis dalam menjaga keselamatan masyarakat.
"Sekolah agama turut termasuk dalam fokus awal kita kerana institusi itu juga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan nilai moral generasi muda.
"Kehadiran polis bukan untuk menguatkuasakan undang-undang semata-mata, tetapi untuk mendidik tentang keselamatan diri dan tanggungjawab sivik," ujarnya.
Tambahnya, langkah turun padang itu diharap dapat memperkukuh persefahaman antara pihak berkuasa dan komuniti sekolah selain mengelak salah tanggapan terhadap kehadiran anggota polis di kawasan pendidikan.
Sabtu lalu media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata kementerian itu akan memperkenalkan strategi baharu keselamatan di sekolah dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, langkah itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju supaya kehadiran polis di kawasan institusi pendidikan dijadikan pendekatan berstruktur bagi menangani isu disiplin, buli serta ancaman keselamatan siber dalam kalangan pelajar.