Dua beranak maut akibat luka parah di leher ditetak dengan pisau pemotong daging

Iklan
Van jenazah dilihat telah berada di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya bagi membawa jenazah dua beranak untuk dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Masjid, Jeneri.

BUKIT MERTAJAM - Dua beranak yang dibunuh dalam kejadian tragis di Kampung Sekolah, Juru di sini pada Sabtu disahkan meninggal dunia akibat luka parah pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam.

Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang leher yang dipercayai menjadi punca utama kematian mereka.

Iklan
Iklan

"Saya percaya kedua-dua mangsa meninggal dunia dalam tempoh yang hampir sama.

"Luka yang dialami sangat teruk dan berpunca daripada senjata tajam seperti pisau pemotong daging," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini pada Ahad.

Iklan

Dr Zahari berkata, hasil bedah siasat turut mendapati terdapat kesan kecederaan lain pada tubuh mangsa yang menunjukkan kemungkinan berlaku pergelutan sebelum kejadian.

Jelasnya, kesan luka menunjukkan menunjukkan mereka seperti cuba menangkis serangan.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian mangsa pertama telah diserang terlebih dahulu sebelum suspek naik ke tingkat atas dan menyerang anaknya.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru di sini.

Menurutnya, setakat ini seorang lelaki iaitu suami mangsa berusia 57 tahun ditahan reman selama seminggu hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Walaupun lelaki itu ditahan namun siasatan tetap diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian dan pelaku sebenar yang terlibat.

"Kita tahan suami mangsa hingga 25 Oktober ini untuk membantu siasatan dan siasatan diteruskan untk mengenal pasti motif kejadian serta pelaku yang terlibat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, tambahnya.