SUBANG JAYA - Seorang anggota polis dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah serta gagal dihubungi oleh ahli keluarganya sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan mengenai kehilangan lelaki itu diterima pada 16 Oktober 2025, kira-kira jam 9.15 malam.
Iklan
Iklan
“Mohd Fadhil Mohamed @ Ahadiah kali terakhir dilihat berada di rumahnya di Kuarters IPD Subang Jaya pada 15 Oktober lalu.
“Individu berusia 40 tahun itu dipercayai keluar memandu sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam bernombor pendaftaran WC 8024 K,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, mangsa mempunyai ketinggian 167 sentimeter, berat 85 kilogram, berkulit coklat, berambut pendek, berhidung lebar, bermata sepet dan bermulut tebal.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222 / 03-7862 7100.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Suhaimi Ibrahim di talian 019-830 1476 bagi membantu siasatan,” katanya.