Warga asing pandu lori muatan lebih 20 tan

Iklan
Hasil pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan sebenar 44,800 kilogram, sedangkan had maksimum yang dibenarkan hanyalah 24,000 kilogram.

MANJUNG - Sudahlah dipandu warga asing, lori pula sarat membawa muatan lebih 20 tan.

Itu antara kesalahan yang dikesan dalam Op Perang Kenderaan Lebih Muatan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Jalan Batu 15, Lekir–Sitiawan pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Dalam operasi berkenaan, sepasukan pegawai JPJ Cawangan Seri Manjung menahan sebuah lori jenis General Cargo selepas disyaki membawa muatan sawit melebihi had dibenarkan.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori terbabit membawa muatan sebenar seberat 44,800 kilogram, sedangkan had maksimum yang dibenarkan hanyalah 24,000 kilogram.

Iklan

“Kita dapati terdapat lebihan muatan kira-kira 20,800 kilogram atau 86.67 peratus.

“Lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut mendapati pemandu lori itu merupakan warga asing yang tidak memiliki lesen memandu sah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, Notis Penahanan Kenderaan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik syarikat dan punca pelanggaran undang-undang tersebut.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah aspek keselamatan dan undang-undang jalan raya.

“Kenderaan membawa lebih muatan bukan sahaja membahayakan pengguna lain, tetapi turut mempercepatkan kerosakan jalan raya,” katanya.

Mohammad Yusoff menambah, operasi yang bermula sejak 14 Oktober itu merupakan sebahagian daripada Op Perang Kenderaan Lebih Muatan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara, selaras dengan arahan Ketua Pengarah JPJ Malaysia bagi mengekang aktiviti kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan muatan.

Ujarnya, statistik sehingga Sabtu merekodkan sejumlah 139 notis arah timbang dikeluarkan di negeri ini hasil pemeriksaan ke atas 21,656 kenderaan, termasuk 1,555 kenderaan perdagangan yang diperiksa secara selektif (SLD).

“Penguatkuasaan terhadap kesalahan ini akan diteruskan secara berterusan di seluruh negeri, khususnya di kawasan berisiko tinggi yang kerap dilalui lori perdagangan berat,” katanya.