Lebuh Armenian warisan seni jalanan

Iklan
Hiasan menarik dan unik menjadikan Lebuh Armenian destinasi pilihan pengunjung.

Terkenal sebagai syurga fotografi dalam kalangan pengunjung di George Town

GEORGE TOWN – Menyusuri Lebuh Armenian seolah-olah melangkah masuk ke dalam sebuah lukisan hidup.

Jalan yang tidak begitu panjang itu kini menjadi antara lokasi paling meriah di Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan setiap sudutnya memancarkan gabungan sejarah, seni dan gaya hidup moden.

Iklan
Iklan

Kamera dan telefon pintar tidak pernah berhenti beraksi kerana Lebuh Armenian memang terkenal sebagai syurga fotografi dalam kalangan pengunjung.

Tarikan utama tentulah mural ikonik 'Children on a Bicycle' karya Ernest Zacharevic yang telah melonjakkan nama Pulau Pinang di peta pelancongan dunia.

Iklan

Tarikan utama tentulah mural ikonik Children on a Bicycle karya Ernest Zacharevic yang telah melonjakkan nama Pulau Pinang di peta pelancongan dunia.

Fenomena seni jalanan ini bermula pada tahun 2012 apabila Ernest dipelawa untuk menghasilkan beberapa lukisan dinding sempena George Town Festival.

Iklan

Tidak disangka, karya yang dihasilkan mula mendapat perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa kerana sifatnya yang unik, interaktif serta dekat dengan kehidupan harian masyarakat setempat.

Keunikan mural Ernest terletak pada konsep interaktifnya.

Tidak sekadar dinding, sebahagian seni turut menggunakan unsur tiga dimensi seperti basikal sebenar, buaian besi, malah perabot lama yang dipasang pada tembok.

Beliau menggunakan objek sebenar seperti basikal, motosikal dan buaian sebagai sebahagian daripada lukisan, membolehkan orang ramai berinteraksi terus dengan karya tersebut.

Pendekatan ini menjadikan mural bukan sekadar karya statik tetapi pengalaman hidup yang boleh dirakam melalui gambar, menjadikan ia lebih dekat dengan masyarakat.

Mural-mural ini juga berjaya mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi seni global, setanding bandar-bandar lain yang terkenal dengan seni jalanan seperti Melbourne, London dan New York.

Ia telah mengubah Lebuh Armenian daripada sebuah lorong biasa kepada destinasi pelancongan dunia.

Setiap hari, pengunjung sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan satu rakaman istimewa di hadapan mural berkenaan.

Selain mural basikal, pelbagai hasil seni jalanan lain turut menghiasi dinding rumah kedai lama di sepanjang lorong itu.

Tidak sekadar dinding, sebahagian seni turut menggunakan unsur tiga dimensi seperti basikal sebenar, buaian besi, malah perabot lama yang dipasang pada tembok.

Selain karya seni, Lebuh Armenian juga terkenal dengan deretan kedai kraf tangan dan cenderamata.

Daripada beg kain bercorak batik, lukisan mini hinggalah rantai kunci berunsurkan budaya Baba Nyonya, semuanya boleh didapati di sini.

Banyak lokasi di Lebuh Armenian yang boleh dijadikan tempat untuk pelancong mengambil gambar.

Bagi yang gemar mencuba makanan tempatan, Lebuh Armenian turut menawarkan pelbagai pilihan.

Salah satu yang menjadi sebutan ramai ialah ais kepal gula Melaka, sejenis pencuci mulut tradisional yang disajikan dengan warna-warna sirap menarik.

Di samping itu, terdapat juga kafe hipster yang menawarkan kopi latte, kek moden, serta ruang santai bergaya kontemporari.

Kemunculan kafe moden ini menambahkan lagi daya tarikan lorong bersejarah itu, menjadikannya titik pertemuan antara tradisi dan moden.

Wajib singgah

Pada hujung minggu, suasana Lebuh Armenian menjadi lebih meriah. Jalan yang sempit itu penuh dengan pelancong yang berjalan kaki, mengambil gambar, membeli cenderamata dan menikmati makanan tempatan.

Bagi peniaga di situ, Lebuh Armenian ibarat nadi rezeki. Ada yang sudah berniaga turun-temurun sejak berdekad lalu, dan ada juga yang baru memulakan perniagaan setelah lorong itu mendapat sambutan luar biasa.

Bagi pelancong, daya tarikannya bukan sahaja pada mural atau makanan, tetapi juga suasana.

Lorong yang dikelilingi bangunan lama berusia ratusan tahun memberikan pengalaman seolah-olah berada di zaman silam, namun dengan suasana moden yang hidup.

Oleh itu, tidak hairanlah Lebuh Armenian kini menjadi salah satu ikon pelancongan Pulau Pinang.

Bagi mereka yang datang buat kali pertama, lorong ini pasti menjadi persinggahan wajib.

Mural, seni jalanan, makanan dan budaya tempatan, semua berpadu menjadikan Lebuh Armenian sebuah destinasi yang hidup, berwarna-warni dan sentiasa menggamit kunjungan.

Dengan kepelbagaian tarikan ini, Lebuh Armenian kekal sebagai simbol bagaimana seni dan warisan mampu diangkat menjadi daya tarikan global, sambil terus mengekalkan keaslian budaya tempatan.