Pelajar maut ditikam: Selangor perketat keselamatan sekolah guna CCTV

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperkenalkan beberapa langkah segera bagi memperketat kawalan keselamatan di sekolah termasuk penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), susulan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, antara langkah keselamatan lain yang dicadangkan adalah penggunaan pengesan logam dan sistem notifikasi pintar yang menghubungkan ibu bapa dan guru.

"Kawalan keselamatan turut ditingkatkan dengan pelaksanaan pendaftaran pelajar di pintu masuk sekolah terbabit bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih terkawal dan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah beliau, inisiatif itu diambil berikutan kejadian pembunuhan tersebut telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain dan menjejaskan kehadiran ke sekolah sejak beberapa hari lalu.

"Kerajaan negeri juga akan mengadakan pertemuan bersama ibu bapa, guru dan pelajar bagi memperingati mangsa serta memulihkan semula keyakinan warga sekolah terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan," tambahnya.

Iklan

Amirudin menegaskan, insiden seumpama itu tidak boleh dibiarkan berulang dan sekolah perlu kembali menjadi tempat paling selamat buat anak-anak.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi program suntikan vaksin Influenza A secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah, iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.

Jelasnya, pelaksanaan itu akan bermula seawal minggu depan dan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin bagi mengekang risiko penularan penyakit dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM64,000 kepada 64 ketua keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Sijangkang dua hari lalu.

"Setiap keluarga akan menerima RM1,000, manakala 14 individu termasuk seorang pegawai pusat khidmat yang cedera turut menerima bantuan RM1,000 seorang," katanya.

Selain itu, katanya lagi, kerja-kerja baik pulih Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan yang rosak akibat ribut akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM320,000 di bawah Tabung Bencana Negeri.

Katanya, komitmen itu adalah tambahan kepada bantuan awal oleh Yayasan MBI dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM564,000 yang disalurkan kepada enam sekolah, pusat khidmat serta keluarga mangsa ribut.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri turut memberikan kelonggaran kepada penjawat awam negeri serta anggota syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerja dari rumah (BDR) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

"Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas, selain mengurangkan beban perjalanan akibat kesesakan trafik susulan penutupan beberapa jalan utama di ibu kota," katanya.

Amirudin turut menggalakkan sektor swasta menawarkan fleksibiliti yang sama kepada pekerja masing-masing sepanjang sidang kemuncak berkenaan bagi menjaga kesejahteraan mereka.

"Kerajaan Selangor menggalakkan sektor swasta untuk menawarkan fleksibiliti sedemikian kepada pekerja masing-masing sekiranya menepati kemampuan dan kebolehan sistem syarikat," jelas beliau.