UEM Edgenta, Rasuah Busters jalin kerjasama beri kesedaran antirasuah di sekolah

Iklan
Samsul (tengah) bersama pengurusan tertinggi UEM Edgenta selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Edgenta (EIP) 2025 sempena Hari Integriti Edgenta 2025 di Hotel Casuarina @ Meru di sini baru-baru ini.

IPOH – UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) bakal memperluas inisiatif antirasuahnya ke peringkat akar umbi melalui kerjasama strategik bersama gerakan Rasuah Busters bagi memberi kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai bahaya rasuah.

Ketua Jabatan Pengurusan Risiko, Integriti dan Pematuhan UEM Edgenta, Faizatul Farhah Ghazali berkata, pihaknya telah lama menjalin hubungan kolaboratif dengan Rasuah Busters.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka kini merancang memperkukuh usaha itu menerusi program mendekati masyarakat khususnya golongan muda di sekolah-sekolah terpilih.

"UEM Edgenta dan Rasuah Busters sudah menjadi rakan kolaborasi untuk jangkamasa yang sudah lama. Insya-ALLAH dalam masa terdekat kami merancang untuk mengadakan program mendekati masyarakat terutamanya sekolah.

Iklan

"Kami mahu turun ke sekolah-sekolah di kawasan operasi UEM Edgenta bagi meningkatkan kesedaran menolak rasuah sejak peringkat awal. Kanak-kanak ini perlu difahamkan apa itu rasuah dan mengapa ia salah supaya nilai integriti dapat diterapkan sejak kecil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Integriti Edgenta (EIP) 2025 sempena Hari Integriti Edgenta 2025 di Hotel Casuarina @ Meru di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program kesedaran antirasuah di sekolah itu akan dijalankan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dengan perincian pelaksanaan akan diumumkan selepas perancangan dimuktamadkan.

Iklan

Katanya, kerjasama dengan Rasuah Busters adalah kesinambungan daripada komitmen UEM Edgenta bagi memperkukuh nilai integriti bukan sahaja dalam kalangan warga kerja dan rakan niaga tetapi juga masyarakat sekeliling.

Faizatul Farhah menunjukkan buku Pelan Integriti Edgenta yang dirasmikan sempena Hari Integriti Edgenta 2025 di Hotel Casuarina @ Meru di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai komitmen dalaman syarikat terhadap integriti, Faizatul Farhah menegaskan bahawa UEM Edgenta mengamalkan prinsip sifar toleransi terhadap salah laku dan rasuah yang diterapkan dari peringkat lembaga pengarah hingga ke semua lapisan warga kerja serta vendor.

“Integriti bukan sekadar dasar di atas kertas tetapi menjadi asas budaya kerja dan rantaian nilai UEM Edgenta.

"Kami juga menjalankan pelbagai program kesedaran, latihan e-pembelajaran dan kempen bulanan bagi memperkukuhkan kefahaman terhadap risiko rasuah,” katanya.

Majlis pelancaran EIP 2025 itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip sebagai simbol komitmen UEM Edgenta menginstitusikan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus kukuh dalam setiap operasi.

UEM Edgenta meneruskan jalinan kerjasama dengan Rasuah Busters bagi memberi kesedaran antirasuah dalam kalangan pelajar sekolah.

Acara berkenaan turut menyaksikan seluruh kepimpinan dan warga kerja syarikat menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diketuai oleh Officer-in-Charge UEM Edgenta, Shaiful Zahrin Subhan, dengan disaksikan oleh wakil SPRM.

Tema Hari Integriti tahun ini, Memperkasa Integriti, Menjulang Tadbir Urus menegaskan iltizam UEM Edgenta untuk terus memperkukuh budaya beretika dan menetapkan penanda aras baharu dalam sektor korporat negara.