Karnival Aspirasi Pahang1st bermula Jumaat hingga Ahad

Iklan
Karnival Aspirasi Pahang1st bermula Jumaat hingga Ahad ini di Kampung Gali Gali Tengah, Raub.

RAUB – Karnival Aspirasi Pahang 1st akan membuka tirainya bermula Jumaat hingga Ahad ini dengan pelbagai pengisian menarik yang bakal memberikan manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Program tiga hari itu yang berlangsung di Kampung Gali Tengah di sini menyaksikan pelbagai acara dan aktiviti dianjurkan untuk menarik kunjungan orang ramai.

Iklan
Iklan

Antara acara menjadi tumpuan ialah Malam Solidariti Pahang4Palestine pada Jumaat yang dijangka mengumpulkan ribuan pengunjung bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Solidariti tersebut turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bermula jam 7.45 malam dengan tema warna putih dan hitam sebagai pilihan pakaian.

Iklan

Pengunjung yang hadir juga berpeluang membawa pulang hadiah berupa barangan elektrik dan motosikal menerusi cabutan bertuah, selain penampilan istimewa penyanyi terkenal Iwan Syahman dan kumpulan nasyid, Awla.

Selain itu, program Pahang Bertanjak dan Berkain Sarung sempena Himpunan 500 Pendekar turut menjadi tarikan utama karnival pada jam 4 petang, Sabtu ini.

Iklan

Acara tersebut akan menonjolkan keindahan warisan Melayu tradisional dengan penyertaan golongan muda dan dewasa; lelaki mengenakan tanjak manakala wanita berkain sarung.

Program itu juga bakal diserikan dengan persembahan 20 perguruan silat dari seluruh negeri Pahang.

Penganjuran karnival ini turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti setempat.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti turut disediakan seperti pameran agensi, jualan produk usahawan tempatan, kenduri rakyat, sukan rakyat, persembahan kebudayaan dan forum ilmiah.

Karnival itu juga dimeriahkan dengan persembahan artis popular, antaranya Kumpulan Floor88, bagi malam kebudayaan dan kesenian yang bermula jam 8.30 malam pada Sabtu.