KUANTAN - Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) merupakan pasukan penguatkuasaan bersepadu pertama di negara ini yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan, mencegah kehilangan dan ketirisan hasil Kerajaan Negeri Pahang.
Ditubuhkan pada 9 Oktober 2019, UPNP berperanan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dalam Enakmen Negeri Pahang serta Akta-Akta Persekutuan yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pengarah UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, agensi itu melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara teratur dan berkesan selari dengan kuasa yang diberikan oleh pihak berkuasa negeri serta memastikan hasil negeri terus dipulihkan.
Menurutnya, UPNP berada di bawah arahan langsung Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan unit ini mengumpulkan semua anggota penguatkuasaan negeri di bawah satu bumbung dengan kekuatan 154 keanggotaan.
“Kami menjalankan penguatkuasaan melibatkan bidang kuasa negeri iaitu tanah, lombong, air, hutan, veterinar dan juga membantu di bahagian keagamaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat UPNP di Indera Mahkota di sini, baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, selain ibu pejabat di Kuantan, UPNP mempunyai tiga cawangan lain iaitu di Temerloh, Lipis dan terbaharu di Cameron Highlands untuk memperkukuh tindakan penguatkuasaan di peringkat daerah.
Katanya, cawangan di Cameron Highlands diwujudkan khusus untuk menumpukan kepada isu penerokaan tanah haram di kawasan berkenaan yang juga menjadi tumpuan pelancongan selain memastikan sumber air mentah di kawasan tanah tinggi itu sentiasa dipelihara.
Lebih 600 operasi, kutipan hasil RM6.78 juta
Saifullah memberitahu, sejak penubuhannya hingga September tahun ini, UPNP telah melaksanakan lebih 600 operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai bidang kuasa di seluruh negeri.
Katanya, antara operasi besar yang dijalankan termasuk Ops Lestari di Sungai Ichat, Cameron Highlands bagi memastikan sumber air mentah negeri tidak tercemar.
“Ops Sekat yang bermula pada 2020 menjadi antara operasi penting apabila membabitkan penebangan tanaman durian haram di Raub kira-kira lebih 1053 ekar (426.13 hektar).
“Operasi itu diteruskan menerusi Ops Sekat Siri Keempat tahun ini yang menyaksikan lebih 260 ekar (105.21 hektar) kawasan durian haram telah ditebang,” katanya.
Saifullah menambah, hasil daripada tindakan penguatkuasaan, sebanyak 650 kertas siasatan telah dibuka dengan 314 kes berjaya dibawa ke muka pengadilan, selain 1,515 sitaan termasuk jentera berat yang digunakan dalam aktiviti haram.
“Kita juga merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM5.16 juta manakala denda hasil pendakwaan di mahkamah sebanyak RM1.62 juta.
“Kedua-dua data itu menjadikan jumlah keseluruhan hasil penguatkuasaan sebanyak RM6.78 juta,” ujarnya.
Saifullah berkata, bagi memperkukuh keberkesanan tindakan di lapangan, UPNP turut menubuhkan Skuad Elit pada 2023 atas arahan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dengan melibatkan seramai 20 anggota.
Menurutnya, skuad berkenaan berperanan melaksanakan risikan, penyamaran dan operasi taktikal bagi membanteras aktiviti penerokaan, perlombongan serta pembalakan haram di peringkat akar umbi.
“Skuad elit ini menjalankan risikan secara menyeluruh. Ada kalanya mereka berada di kawasan hutan berminggu minggu untuk mengenal pasti lokasi sebenar kegiatan haram sebelum pasukan operasi digerakkan bagi serbuan dan tangkapan,” katanya.
Beliau berkata, hasil keberkesanan skuad berkenaan dapat dilihat melalui kejayaan operasi besar seperti Ops Sekat dan Ops Lestari, selain menyumbang kepada peningkatan jumlah pendakwaan serta kutipan hasil penguatkuasaan negeri.
Menurutnya, keupayaan operasi yang semakin mantap turut menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, sekali gus memastikan pendapatan kerajaan negeri kekal melebihi RM1 bilion selama tiga tahun berturut-turut.
“Sebelum tahun 2020, banyak ketirisan hasil berlaku akibat kegiatan haram seperti tanah, lombong dan balak tanpa lesen.
“Bagaimanapun, dengan penguat kuasaan bersepadu seperti ini, kita berjaya memulihkan semula hasil negeri yang hilang sekian lama,” katanya.
Model task force dicontohi negeri lain
Dalam pada itu, Saifullah berkata, kejayaan pelaksanaan model penguatkuasaan bersepadu UPNP menarik minat beberapa kerajaan negeri lain untuk mencontohi pendekatan itu.
“Misalnya Kelantan yang telah menubuhkan bahagian khas di bawah SUK yang mengumpulkan semua bidang kuasa negeri di bawah satu bumbung.
“Setakat ini, hanya Kelantan telah membuat replikasi sepenuhnya kaedah atau task force yang sama seperti ditubuhkan di Pahang,” katanya.
Menurut Saifullah, pihaknya turut menerima kunjungan daripada pentadbiran tanah Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru baru ini.
“Mereka datang untuk melihat bagaimana pelaksanaan penguatkuasaan yang dijalankan oleh kita dan keberhasilan serta amalan terbaik yang boleh diamalkan di negeri masing-masing,” jelasnya.
Menjawab mengenai perancangan masa depan, Saifullah berkata, UPNP kini merancang untuk memperkukuh kekuatan tenaga kerja sedia ada dengan menambah anggota baharu.
Jelasnya, perkara itu dirancang bagi menampung skop bidang kuasa yang semakin luas.
“Kalau boleh kita hendak tambahkan lagi anggota penguatkuasaan memandangkan tugas kami luas kerana ia melibatkan lima hingga enam bidang kuasa negeri.
“Kita juga mengawal untuk keseluruhan 11 daerah dalam Negeri Pahang, dengan keupayaan sekarang 154 anggota ini boleh katakan mampu cuma belum mampan dan perlu penambahan anggota,” katanya.