TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hadir di Mahkamah Tel Aviv semalam bagi meneruskan prosiding kes rasuah yang telah berlangsung sejak Mei 2020.
Ketibaan Netanyahu yang ditemani beberapa menteri kanan dari parti konservatif Likud disambut dengan protes oleh sekumpulan penunjuk perasaan.
Beliau bagaimanapun kelihatan tenang dan tersenyum ketika memasuki pekarangan mahkamah.
Perbicaraan terbaharu ini berlangsung selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa agar Netanyahu diberi pengampunan bagi tiga kes rasuah yang sedang dihadapinya.
Dalam ucapannya kepada Parlimen Israel (Knesset) pada Isnin lalu, Trump secara sinis berkata 'cerut dan champagne, siapa peduli tentang itu?'
Dalam salah satu pertuduhan, Netanyahu dan isterinya, Sara, didakwa menerima barangan mewah bernilai lebih AS$260,000 termasuk champagne, cerut dan barang kemas daripada beberapa individu kaya sebagai balasan kepada bantuan politik.
Dua lagi pertuduhan melibatkan dakwaan bahawa Netanyahu cuba merundingkan liputan media yang lebih positif daripada dua organisasi berita utama di Israel.
Netanyahu menafikan semua tuduhan dan mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik.
Netanyahu kini memegang rekod sebagai pemimpin paling lama mentadbir Israel, dengan tempoh perkhidmatan keseluruhan selama 18 tahun sejak pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1996.- Agensi