DAKWAAN kemunculan harimau di kawasan penempatan manusia bukan perkara baharu.
Setiap kali ada berita begitu, penduduk pasti panik - bukan sebab nampak pun, kadang cuma terdengar bunyi tapak kaki sudah cukup buat bulu roma berdiri.
Tapi kalau benar si belang itu melintas di kawasan manusia, persoalannya: kenapa dia datang?
Adakah kerana lapar? Atau sebenarnya kita yang menceroboh ruang hidupnya?
Bukan harimau saja, malah tapir, kambing gurun, gajah dan rusa juga semakin kerap muncul di tepi jalan atau kawasan kampung.
Puncanya jelas - hutan makin mengecil, habitat makin hilang. Tambah pula aktiviti pembalakan, pembangunan rakus, pemburuan haram dan pencemaran alam sekitar yang makin menjadi.
Merak Jalanan dimaklumkan punca kemerosotan jumlah hidupan liar termasuklah kehilangan dan pemusnahan habitat akibat pembangunan dan penebangan hutan, aktiviti pemburuan haram untuk perdagangan, pencemaran alam sekitar dan kemalangan jalan raya.
Bagi Merak Jalanan, isu harimau dan hidupan liar dilindungi yang lain ialah kes global yang perlu dipandang serius tanpa kompromi. Kes jenayah melibatkan hidupan liar perlu digali sehabis baik.
Merak Jalanan ada terbaca laporan berita tangkapan tiga lelaki ditahan dengan penemuan bangkai seekor harimau belang dipercayai diburu secara haram di Johor September lalu.
Malah ada juga kes pelik iaitu seorang lelaki yang dikatakan mempunyai hobi mengawet binatang liar di kediamannya di Bangi pada awal Oktober ini. Jelas dua kes sebegini amat mendukacitakan dan menyedihkan.
Merak Jalanan amat bangga bila pihak berkuasa tak kenal penat memburu penjenayah khazanah negara. Masyarakat juga harus bantu dengan salurkan maklumat.
Kita tidak mahu hilang khazanah bernilai akibat kepupusan spesies yang diibaratkan permata itu.