DEIR AL BALAH/PALESTIN - Serangan genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 turut memusnahkan sektor pertanian di wilayah yang dikepung itu dengan tanah ladang yang luas hancur, ternakan penduduk lenyap dan pengeluaran makanan terhenti, lapor Anadolu Ajansi.
Semenanjung Gaza yang sejak beberapa dekad lalu terkenal dengan kawasan ladang yang terbentang dari bandar utara Beit Lahiya hingga ke bandar selatan Rafah, kini dilaporkan mengalami antara keruntuhan pertanian paling teruk dalam sejarahnya.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan hampir sepenuhnya input penting seperti bahan api, benih, baja, sistem pengairan dan bahan perlindungan tanaman.
Tentera Israel memusnahkan lebih 94 peratus daripada 72,034 hektar tanah pertanian di wilayah berkenaan.
Kemusnahan itu turut mengurangkan kapasiti pengeluaran pertanian tahunan daripada 405,000 tan kepada kira-kira 28,000 tan, menurut data Pejabat Media Kerajaan di Gaza.
Sektor pertanian mengalami kerugian kira-kira AS$2.8 bilion akibat serangan dua tahun Israel, menurut laporan pejabat media itu yang diterbitkan pada 6 Oktober.
Penemuan juga menunjukkan bahawa selepas dua tahun kemusnahan, kawasan pertanian tanaman sayur-sayuran menyusut daripada 37,635 hektar kepada hanya 1,618 hektar.
Dalam tempoh yang sama, tentera Israel telah memusnahkan 1,233 telaga pertanian dan lebih 85 peratus rumah hijau.
Para petani menegaskan bahawa pembukaan semula lintasan sempadan Gaza dan kemasukan semua bekalan pertanian, terutamanya benih serta peralatan pengairan, adalah satu ‘keperluan mendesak’ bagi memulihkan semula sektor yang musnah itu.
Hamas dan Israel mencapai perjanjian gencatan senjata minggu lalu sebagai sebahagian daripada pelan 20 perkara oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang, membebaskan semua tawanan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, menyalurkan bantuan dan membina semula Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 67,800 penduduk Palestin di wilayah itu - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta menjadikan sebahagian besarnya tidak boleh didiami. - Bernama-Anadolu