NGO gesa penjelasan telus dakwaan penjualan tanah di kawasan sensitif di Hulu Kelang

Iklan
Pegawai Penyelidik C4 Center, Nabila Zulkeflee menunjukkan peta tanah selepas sidang media mengenai dakwaan penjualan tanah Zoo Negara di Phileo Damansara pada Rabu. Foto Bernama

PETALING JAYA - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa butiran pada perubahan hak milik atau penggunaan tanah dalam kawasan sensitif ekologi didedahkan secara telus dan dengan sokongan justifikasi undang-undang yang jelas.

Mereka menuntut pihak berkuasa berkaitan untuk mendedahkan butiran berhubung penjualan dan klasifikasi semula tanah tersebut yang sebelum ini dimiliki oleh Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) yang menguruskan Zoo Negara.

Iklan
Iklan

Noina

Penyelaras utama AJ Rimba Collective, Noina Baharuddin mendakwa lot tanah di Hulu Klang, Selangor itu dijual atau dipindah milik beberapa tahun lepas dan kemudiannya diklasifikasikan daripada 'kemudahan sukan dan rekreasi' kepada 'komersial' dalam Rancangan Tempatan Ampang Jaya 2035 yang baharu diwartakan.

Iklan

"Tanah ini diamanahkan untuk manfaat awam dan konservasi, bukan untuk keuntungan komersial. Sebarang perubahan pemilikan atau penggunaan tanah dalam kawasan sensitif ekologi mesti telus dan wajar di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Kumpulan NGO yang terdiri antaranya daripada AJ Rimba Collective, Environmental Protection Society Malaysia, Sahabat Alam Malaysia dan Friends of Bukit Kiara menuntut pendedahan penuh terhadap dakwaan urus niaga melibatkan tanah tersebut.

Iklan

Noina berkata, NGO terlibat bimbang jika pembangunan di tanah itu meningkatkan risiko alam sekitar dan keselamatan termasuk tanah runtuh dan banjir kilat memandangkan kawasan tersebut bersebelahan sungai, kawasan berbukit dan sebahagian Hutan Simpan Ulu Gombak.

Beliau berkata, mereka menuntut tiga tindakan utama diambil iaitu pendedahan penuh di sebalik penjualan tanah, penjelasan berhubung penukaran status guna tanah dan langkah segera pihak berkuasa untuk melindungi tanah Zoo Negara dengan mewartakannya sebagai 'kawasan lapang'.

Beliau mendakwa komitmen Malaysia terhadap pemuliharaan antarabangsa termasuk konservasi panda dengan China boleh terjejas jika isu zon tanah yang tidak konsisten tidak diselesaikan.

Sementara itu, penasihat undang-undang alam sekitar, A Thevanai berkata, di bawah Seksyen 12A Akta Perancangan Bandar dan Desa, pihak berkuasa tempatan wajib mengumumkan penyediaan draf rancangan tempatan dan setelah itu, Seksyen 13 menghendaki draf dipamerkan bagi mendapatkan maklum balas serta bantahan awam.

Zoo Negara yang ditubuhkan pada 1963 terletak di kawasan seluas lebih 40.47 hektar di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan diiktiraf sebagai Taman Zoologi Malaysia. - Bernama