LANGKAH kerajaan memperkenalkan geran padanan sehingga RM4,000 bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan lama adalah satu inisiatif yang wajar dipuji.
Diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat baru-baru ini, dasar ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, tetapi juga kesungguhan untuk menangani isu keselamatan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan kecekapan tenaga.
Kenderaan lama terutamanya yang telah berusia lebih dua dekad, bukan sekadar menimbulkan masalah dari segi penyelenggaraan, malah menjadi penyumbang utama kepada pencemaran udara akibat pelepasan asap karbon berlebihan.
Banyak di antara kenderaan ini sudah tidak memenuhi piawaian emisi moden dan menggunakan teknologi enjin yang ketinggalan zaman.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi turut meningkatkan risiko kemalangan akibat kegagalan komponen penting seperti brek, stereng dan sistem keselamatan asas.
Melalui geran padanan ini, kerajaan dilihat cuba mengubah persepsi rakyat agar lebih bertanggungjawab terhadap kenderaan milik mereka.
Ia memberi insentif kepada pemilik untuk melupuskan kenderaan usang dengan cara yang betul, bukannya dibiarkan tersadai di halaman rumah atau di tepi jalan, mencacatkan pemandangan dan menimbulkan risiko keselamatan awam.
Tambahan pula, inisiatif ini turut membuka ruang kepada rakyat untuk memiliki kenderaan baharu yang lebih cekap bahan api dan mesra alam, sejajar dengan agenda peralihan negara ke arah ekonomi hijau.
Dalam masa yang sama, langkah ini mampu merancakkan semula industri automotif tempatan, khususnya sektor kitar semula logam dan pembuatan alat ganti.
Kitaran ekonomi ini memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti ekonomi domestik.
Pendek kata, inisiatif geran padanan pelupusan kenderaan lama ini bukan sekadar dasar fiskal, tetapi manifestasi kesungguhan kerajaan untuk membina masyarakat yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan prihatin terhadap alam sekitar.
Jika dilaksanakan dengan telus dan efisien, ia akan menjadi titik tolak kepada transformasi sistem pengangkutan negara yang lebih lestari dan selamat.