Presiden Venezuela, Nicolas Maduro seru dunia iktiraf Palestin

Iklan
Nicolas Maduro. Agensi

CARACAS– Presiden Venezuela, Nicolas Maduro meraikan kejayaan gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Israel.

Maduro menyeru agar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negara Palestin serta memberi peluang kepada rakyatnya untuk memilih kerajaan mereka sendiri secara demokratik.

Iklan
Iklan

“Biarlah Gaza dibina semula, biarlah seluruh Tebing Barat dijamin untuk Palestin, biarlah Baitulmaqdis Timur dijamin sebagai ibu kota, dan biarlah Pertubuhan Bangsa Bersatu mengiktiraf Negara Palestin, Pihak Berkuasa Palestin serta kerajaan yang dipilih oleh rakyat Palestin sendiri,” katanya ketika bersiaran menerusi programnya, 'Con Maduro +' pada Isnin.

Beliau turut menekankan kepentingan pandangan awam, khususnya di Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya memainkan peranan besar dalam mempengaruhi Presiden AS ketika ini, Donald Trump, untuk membantu menghentikan operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Iklan

Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Radamés Gómez bergambar bersama wakil pertubuhan di Malaysia seperti Institut Kajian Dasar (IKD), CENTHRA, Yayasan PEACE, MTEM, Amanah, PSM, Sosionomika dan Aspirasi Madani.

Maduro berkata, sebanyak 60 peratus responden dalam tinjauan di Amerika Syarikat menyokong perjuangan Palestin dan menyifatkan apa yang berlaku di Gaza sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai (genosid).

Iklan

Sementara itu, Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Radamés Gómez, dalam ucapannya sempena Hari Solidariti dengan Venezuela yang diadakan di Caracas pada Isnin berkata, Amerika Syarikat merancang serangan ketenteraan terhadap negara itu dengan menggunakan alasan memerangi dadah sebagai helah baharu untuk menukar rejim dan menguasai sumber tenaga utama Amerika Latin.

“Mereka menuduh Venezuela sebagai negara pengeluar dadah tanpa sebarang bukti. Laporan daripada Agensi Penguatkuasaan Dadah AS (DEA) dan Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNODC) sendiri tidak pernah menyenaraikan Venezuela sebagai pengeluar atau pengedar utama kokain,” katanya.

Menurut beliau, lebih 1,000 sekatan ekonomi yang dikenakan sejak 2015 telah melumpuhkan ekonomi Venezuela, menyebabkan hiperinflasi dan kekurangan makanan serta ubat-ubatan, sekaligus mencetuskan gelombang migrasi besar-besaran.

Gómez mendakwa Washington kini meningkatkan tekanan ketenteraan dengan menghantar kapal pemusnah, pelancar peluru berpandu, pesawat pejuang serta kapal selam nuklear berhampiran perairan Caribbean langkah yang menurutnya mengancam keamanan serantau.

Susulan itu, kerajaan Venezuela telah meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan ancaman tersebut.

Venezuela mengemukakan tiga tuntutan utama kepada PBB, supaya ancaman terhadap keamanan antarabangsa diiktiraf, langkah segera diambil bagi mengelak konflik bersenjata, serta jaminan bahawa semua negara anggota menghormati kedaulatan dan integriti wilayahnya.

“Kami tidak mahu peperangan. Venezuela mahu keamanan dengan kebebasan, maruah dan kedaulatan,” tegas Gómez sambil mengingatkan bahawa negaranya mempunyai hak mempertahankan diri di bawah Artikel 51 Piagam PBB sekiranya diserang.