BACHOK – Malaysia menuju hab inovasi serantau apabila lebih 180 projek teknologi tempatan termasuk dron melepasi fasa penyelidikan dan diuji dalam dunia sebenar melalui Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan syarikat pemula dan penyelidik tempatan mencipta teknologi yang bukan sahaja berdaya saing, malah memberi impak langsung kepada sektor ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“NTIS berfungsi sebagai jambatan yang menyambung hasil penyelidikan di makmal dengan pasaran sebenar.
“Usaha ini membolehkan inovasi tempatan diuji, ditambah baik dan dikomersialkan dengan sokongan kewangan, fasilitasi regulatori serta bimbingan teknikal,” katanya ketika berucap menutup Festival of Idea @ Kelantan (FOI@Kelantan) 2025 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Selasa.
Turut hadir, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Arham Abdullah.
Menurut Lih Kang, selain teknologi dron, bidang kesihatan digital dan pertanian pintar turut menerima manfaat besar di bawah program itu juga dikenal pasti sebagai pemacu utama ekonomi berasaskan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau menegaskan, kejayaan projek-projek di bawah NTIS menunjukkan bahawa Malaysia tidak lagi sekadar pengguna teknologi asing, sebaliknya mampu membangunkan dan menguji teknologi ciptaan sendiri.
“Ini bukti bahawa kita mempunyai bakat dan keupayaan untuk membina penyelesaian tempatan terhadap cabaran global.
“Setiap inovasi yang dicipta daripada anak tempatan bukan sahaja mencipta nilai ekonomi baharu, tetapi juga keyakinan bahawa Malaysia mampu berdiri sebagai negara berteknologi tinggi,” katanya.
Tambahnya, inisiatif seperti NTIS akan terus diperkasa bersama pelbagai program lain di bawah MOSTI termasuk MySTI, National Innovation and Commercialisation Expo dan BioInnovation Launchpad, yang berperanan mempercepatkan pengkomersialan produk berasaskan penyelidikan tempatan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan inovasi tidak hanya bergantung pada teknologi semata-mata, sebaliknya kepada bakat dan budaya inovatif dalam kalangan rakyat.
Justeru, MOSTI turut memperkukuh pembangunan modal insan melalui Malaysia Techlympics dan Minggu Sains Negara bagi memupuk minat terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik sejak di bangku sekolah.
“Tujuan akhirnya ialah memastikan setiap pelajar, sama ada di bandar atau luar bandar, mempunyai peluang yang sama untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan teknologi negara,” katanya.