Wanita China batalkan kahwin, tuntut 'wang pelukan' RM70,000

Iklan
Lelaki tersebut terkejut apabila bekas tunang menuntut wang pelukan RM70,000 semasa sesi pengambaran praperkahwinan. Agensi

BEIJING – Satu kisah pembatalan perkahwinan yang berlaku di China menjadi bualan hangat netizen selepas seorang wanita dilaporkan menuntut sejumlah 30,000 yuan (RM70,000) daripada bekas tunangnya sebagai 'bayaran berpelukan' setelah dia memutuskan pertunangan.

Wanita itu pada mulanya bersetuju untuk memulangkan kembali hadiah pertunangan berjumlah 200,000 yuan (RM466,800) yang diterimanya.

Iklan
Iklan

Namun, calon suaminya terkejut apabila wanita itu kemudian menuntut pemotongan sejumlah 30,000 yuan daripada jumlah tersebut dan mendakwa ia sebagai pampasan atas 'kos berpelukan' semasa mengadakan sesi gambar praperkawinan.

Permintaan yang disifatkan luar biasa ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di China.

Iklan

Kisah pembatalan nikah ini mula tular selepas disiarkan oleh Henan TV dan dilaporkan telah ditonton sebanyak 23 juta kali di platform media sosial di negara China itu.

Pasangan yang tinggal di Pingdingshan, Henan ini telah bertunang pada Januari 2025 dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada November 2025.

Iklan

Difahamkan, segala persiapan termasuk sesi fotografi praperkahwinan dan tempahan hotel untuk majlis telah pun dilakukan.

Bagaimanapun, dua bulan sebelum hari bahagia, wanita tersebut mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan dengan alasan bakal suaminya terlalu jujur dan memiliki pendapatan yang rendah.

Dia bersetuju untuk mengembalikan semula wang hantaran tersebut, tetapi tetap berkeras menuntut 30,000 yuan sebagai 'wang pelukan'.

Menurut agen mencari jodoh pasangan itu, aksi berpelukan yang berlaku adalah atas arahan jurugambar semasa sesi foto praperkahwinan dan tuntutan 30,000 yuan itu disifatkan sebagai tidak bermoral.

Setelah proses rundingan dijalankan, wanita berkenaan dilaporkan akhirnya memulangkan wang tunai sebanyak 170,500 yuan (RM397,977) kepada pihak lelaki, termasuk jumlah pampasan yang dituntut.

Kes-kes seumpama ini sering kali menjadi tajuk utama berita di China, terutamanya apabila pihak wanita enggan memulangkan wang hantaran selepas memutuskan untuk membatalkan pertunangan. - Agensi