KEHADIRAN bekas penyerang sensasi negara, Faizal Saari, nyata menyuntik semangat baharu buat skuad hoki lelaki Terengganu dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak.
Pengendali pasukan, Mohd Harfizi Baharom, mengakui aura dan pengalaman luas pemain itu banyak membantu memperkukuh permainan serta semangat sepasukan di dalam padang.
Iklan
Iklan
“Faizal sangat positif dalam pasukan dengan karakter beliau yang sentiasa dahagakan kemenangan.
"Beliau aktif membantu, terutamanya dalam membimbing pemain muda supaya sentiasa bekerjasama dan memahami antara satu sama lain di dalam padang,” katanya.
Tambah Mohd Harfizi, kehadiran Faizal bukan sekadar meningkatkan kualiti serangan, tetapi turut membentuk suasana kompetitif yang sihat dalam kalangan pemain muda Terengganu.
Pasukan pantai timur itu kini tampil berwibawa selaku penyandang juara dua musim berturut-turut, selepas menewaskan Pahang 4-2 dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, tahun lalu.
Sebelum itu, Terengganu juga menjuarai edisi 2024 apabila menundukkan Johor 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Taman Daya, Johor.