Misi terakhir wartawan Gaza

Iklan
Wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan di kawasan Sabra, Bandar Gaza pada 12 Oktober lalu. Agensi

BANDAR GAZA — Wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan di kawasan Sabra, Bandar Gaza pada 12 Oktober lalu, hanya beberapa hari selepas perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas dikuatkuasakan.

Menurut laporan media tempatan, mangsa ditembak ketika berada di lokasi pertempuran bersenjata. Difahamkan, beliau memakai jaket bertanda “PRESS” semasa kejadian.

Iklan
Iklan

Saleh, 27, merupakan wartawan bebas dan pembuat kandungan media sosial yang aktif melaporkan perkembangan semasa konflik di Genting Gaza.

Beliau mula dikenali sejak 2019 menerusi rakaman video di zon perang yang mendapat jutaan tontonan di media sosial.

Iklan

Wartawan Palestin mengangkat plakad membantah pembunuhan rakan sejawatan mereka, Hussam Shabat dan Muhammad Mansour dalam serangan Israel di Bandar Gaza. AFP

Walaupun tiada rekod rasmi menunjukkan beliau bekerja dengan mana-mana agensi antarabangsa, beberapa portal seperti The New Arab dan VG Norway mengesahkan statusnya sebagai pemberita bebas yang kerap berada di barisan hadapan pertempuran.

Iklan

Laporan turut menyebut Saleh pernah menerima ancaman sebelum ini akibat laporannya yang menyiarkan kesan kemusnahan dan korban awam di Gaza.

Kematian beliau berlaku ketika situasi keselamatan di wilayah itu masih tegang biarpun gencatan senjata diumumkan beberapa hari sebelumnya.

Menurut laporan Committee to Protect Journalists (CPJ), Gaza kini merupakan zon paling berbahaya di dunia untuk wartawan, dengan lebih 200 wartawan dan pekerja media terbunuh sejak perang meletus semula pada 2023.

Sementara International Federation of Journalists (IFJ) merekodkan sekurang-kurangnya 149 wartawan Palestin terkorban sejak serangan pertama dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Sebahagian besar mangsa terdiri daripada wartawan tempatan yang bekerja secara bebas tanpa perlindungan mencukupi atau akses kepada peralatan keselamatan profesional.

Laporan Reporters Without Borders (RSF) pula menyatakan, banyak insiden melibatkan wartawan di Gaza berlaku berhampiran kawasan awam dan bukan di zon pertempuran langsung, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan media di lapangan.

Dalam kes Saleh, tiada agensi rasmi mengesahkan punca sebenar tembakan yang menyebabkan kematiannya, namun sumber tempatan mendakwa beliau terkena peluru ketika sedang menyiarkan rakaman secara langsung.

Kematian wartawan muda itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap pelanggaran undang-undang kemanusiaan yang melindungi wartawan di kawasan konflik.

Badan media dan pertubuhan antarabangsa menggesa siasatan telus dijalankan bagi menentukan sama ada serangan terhadap wartawan berlaku secara tidak sengaja atau disengajakan.

Saleh turut menjadi antara puluhan wartawan bebas yang aktif di platform digital, sekali gus menjadikan garis antara wartawan profesional dan pembuat kandungan semakin kabur dalam konteks perang moden.

Kehadirannya di lapangan selama beberapa tahun menjadikan beliau sumber penting kepada agensi berita luar yang sukar memasuki wilayah terkepung itu.

Beberapa laporan antarabangsa termasuk The Guardian dan Associated Press turut menegaskan bahawa kehilangan wartawan tempatan seperti Saleh menjejaskan aliran maklumat dari Gaza kepada dunia luar.

Tanpa liputan mereka, banyak kejadian di lapangan termasuk serangan ke atas kawasan awam yang sukar disahkan secara bebas.

Laporan daripada badan pemantau media menyatakan, kebanyakan wartawan Gaza beroperasi tanpa sokongan institusi, bergantung sepenuhnya pada telefon bimbit dan peralatan rakaman ringkas.

Mereka juga menghadapi kesukaran mendapatkan akses internet stabil, elektrik, dan tempat perlindungan yang selamat semasa melapor.

Menurut IFJ, tekanan mental dalam kalangan wartawan Gaza juga meningkat dengan ramai terpaksa terus bekerja walaupun kehilangan ahli keluarga akibat serangan.

Kematian Saleh Aljafarawi sekali lagi mengingatkan dunia bahawa dalam konflik berpanjangan seperti di Genting Gaza, wartawan bukan sekadar pemerhati tetapi mereka kini turut menjadi antara mangsa utama perang. - Agensi