MERAK Jalanan geleng kepala bila terbaca kisah pelajar lelaki 17 tahun memperkosa pelajar perempuan 15 tahun di dalam kelas sebuah sekolah di Melaka, hati terus rasa berat.
Bukan di lorong gelap, bukan di tempat sunyi tetapi dalam kelas di mana tempat guru menanam ilmu, tempat pelajar menimba masa depan. Tapi hari ini, ia jadi tempat maruah diragut tanpa belas.
Lebih menyedihkan, ada yang sempat merakam. Siap sebarkan pula video itu. Apa yang bermain di kepala mereka waktu itu? Seronok? Bangga? Hilang sudah rasa malu dan tenggelam sudah nilai kemanusiaan.
Inilah wajah sebenar keruntuhan akhlak remaja hari ini. Mereka bukan jahil tetapi bila ilmu tidak disulami nilai, jadilah manusia yang pandai semua, tapi tak tahu beza antara betul dan zalim.
Kita boleh salahkan sesiapa sahaja waima keluarga, sekolah atau masyarakat. Hakikatnya, semua kita ada ‘saham’ dalam kebobrokan ini.
Ibu bapa sibuk mencari rezeki sampai lupa mendidik jiwa anak.
Sekolah pula kadang terlalu fokus pada pencapaian akademik, hingga lupa tugas membentuk manusia. Masyarakat pun sama, lebih cepat menekan butang kongsi daripada menegur atau mendidik.
Anak-anak sekarang membesar dalam dunia yang menilai mereka berdasarkan likes dan views, bukan nilai dan maruah.
Mereka lebih percaya pada telefon pintar daripada nasihat ibu bapa. Bila tiada sempadan, tiadalah rasa hormat.
Merak Jalanan bukan mahu menghukum, tapi mahu kita semua tersentak. Akhlak bukan boleh diajar dalam satu ceramah motivasi atau satu slot agama di sekolah.
Ia perlu dibina dari rumah, dihidupkan di sekolah dan disuburkan oleh masyarakat.
Kalau remaja kita sudah tidak tahu malu, tidak tahu hormat dan tidak tahu nilai maruah maka kita bukan sedang menuju masa depan tetapi kita sedang menggali lubang untuk diri sendiri.