SHAH ALAM - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menggesa kerajaan untuk mengeluarkan mekanisme pelaksanaan dan kenyataan secara terperinci bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berhubung siling kelayakan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diterima oleh pemandu e-hailing dan p-hailing.
Penghantar dalam kenyataan memaklumkan kekeliruan itu timbul apabila Kementerian Kewangan (MOF) menaikkan sekali ganda siling penggunaan kepada 600 liter sebulan.
"Adakah jumlah 600 liter ini tambahan kepada 300 liter sedia ada yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang layak, ataupun ia hanya tambahan 300 liter menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter? Kekaburan seperti ini boleh menimbulkan salah faham dan kemarahan dalam kalangan pemandu.
"Kami juga dimaklumkan melalui perbincangan dengan syarikat e-hailing operator (EHO) bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), terdapat permintaan agar kuota ditingkatkan kepada 1,000 liter sebulan bagi pemandu sepenuh masa," katanya.
Menurut kenyataan itu, hasil pemantauan yang dijalankan setakat 6 Oktober lalu, ramai pemandu telah menggunakan hampir separuh daripada kuota 300 liter mereka sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk penambahan.
"Apakah definisi yang digunakan untuk mengklasifikasikan pemandu sepenuh masa oleh MOF? Tanpa penjelasan yang jelas ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati atau layanan tidak seimbang kepada pemandu e-hailing.
"Kami juga ingin menarik perhatian kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyatakan sektor p-hailing turut layak menerima kuota tambahan ini, namun pengumuman rasmi itu tidak menyebut langsung peruntukan untuk p-hailing, sekali gus menimbulkan persoalan lanjut," katanya.
Tambah Penghantar, kurangnya konsisten kementerian itu akan menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap kos sara hidup serta nasib pemandu e-hailing dan p-hailing.
Media melaporkan lebih 53,900 pemandu e-hailing sepenuh masa layak menerima siling penggunaan BUDI95 sebanyak 600 liter sebulan dan kenaikan sekali ganda itu dilakukan hasil semakan silang data bersama APAD.