Bimbang lambakan pusat ultrasound tidak berlesen

Iklan
Tindakan mendapatkan khidmat daripada pengamal tidak bertauliah boleh membawa kepada diagnosis yang salah. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Komuniti Obstetrik & Ginekologi serta Radiologi bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak pusat ultrasound tidak berlesen yang beroperasi di seluruh negara.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia, Dr RM Udayar Pandian Ramachandhiran; Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo dan Presiden Kolej Radiologi, Akademi Perubatan Malaysia, Dr Farhana Fadzli.

Iklan
Iklan

Mereka mendakwa, pusat tersebut didapati secara aktif mempromosikan perkhidmatan di pelbagai platform media sosial dengan menawarkan perkhidmatan melibatkan prosedur yang sepatutnya dijalankan oleh pakar perubatan terlatih.

"Kebanyakan pusat tersebut dikendalikan oleh jurusonografi yang tidak tertakluk kepada sebarang peraturan atau kawal selia.

Iklan

"Tiada peruntukan atau undang-undang khusus di bawah Akta Perubatan yang membenarkan amalan ini menyebabkan pengamal tidak berlesen beroperasi tanpa tindakan undang-undang yang sewajarnya," katanya.

Menurut kenyataan itu, situasi berkenaan menimbulkan isu medikolegal yang serius serta risiko keselamatan pesakit yang amat membimbangkan apabila ia dijalankan tanpa sebarang penyeliaan perubatan.

Iklan

"Sebagai profesional kesihatan yang prihatin dan bertanggungjawab, kami menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pusat-pusat ini yang kelihatan menawarkan perkhidmatan imbasan ultrasound khusus pada kadar harga yang lebih rendah.

"Tindakan mendapatkan khidmat daripada pengamal tidak bertauliah boleh membawa kepada diagnosis yang salah, menyebabkan kegelisahan tidak perlu atau lebih berbahaya, melambatkan rawatan penting.

"Ia juga boleh memberi gambaran palsu tentang keadaan kesihatan, sedangkan perkhidmatan tersebut tidak mempunyai kualiti, ketepatan dan kebertanggungjawaban yang sewajarnya diterima oleh pesakit," katanya.

Mereka turut menegaskan bahawa saringan terperinci dan diagnosis anomali janin semasa kehamilan, penjejakan folikel serta imbasan ultrasound lanjutan bagi pengurusan kesuburan perlu dilakukan oleh Pakar Obstetrik & Ginekologi, Pakar Perubatan Fetal dan Pakar Kesuburan yang bertauliah.

"Imbasan khas dan khusus seperti pencirian lesi payudara dan tiroid, penilaian tumor pada organ abdomen serta penilaian sistem muskuloskeletal perlu kekal di bawah kepakaran pakar radiologi.

"Imbasan ini boleh dilakukan oleh jurusonografi terlatih, tetapi hanya di bawah penyeliaan ketat pakar radiologi, dan semua laporan ultrasound formal (kecuali imbasan khusus oleh subkepakaran masing-masing) mesti disahkan oleh pakar radiologi," katanya.

Tambah kenyataan itu, pengamal perubatan am yang mempunyai latihan khusus dalam Point-of-Care Ultrasound (POCUS) boleh melakukan imbasan asas dan fokus antaranya pemeriksaan rutin kehamilan berisiko rendah, keadaan ginekologi ringan dan imbasan abdomen asas.

"Bagaimanapun, sebarang penemuan yang kompleks, tidak konklusif atau berisiko tinggi mesti dirujuk segera kepada pakar berkaitan untuk penilaian dan pengurusan lanjut.

"Pesakit berhak menerima tahap penjagaan kesihatan tertinggi dan jaminan terhadap keselamatan mereka," ujarnya

Katanya, pihak berkuasa digesa untuk menangani segera kekosongan peraturan sedia ada dan orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan ultrasound daripada pengamal perubatan yang bertauliah dan diiktiraf.