BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) akan menyambung semula misi sivik bagi memantau pintu sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir pada Rabu bagi menyokong perjanjian gencatan senjata yang diusahakan AS, menurut diplomat kanan blok itu pada Isnin.
“EU bersedia memainkan peranannya.
“Misi ini boleh memainkan peranan penting dalam menyokong gencatan senjata,” kata Kaja Kallas dalam ciapan di X selepas Hamas membebaskan kumpulan pertama tebusan Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Blok 27 negara itu menubuhkan misi sivik pada 2005 untuk memantau pintu sempadan Rafah, tetapi dihentikan dua tahun kemudian selepas Hamas mengambil alih Gaza.
Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM) bertujuan menyediakan kehadiran pihak ketiga yang neutral di pintu sempadan penting itu dan melibatkan polis dari Itali, Sepanyol dan Perancis.
Ia pernah dikerahkan semula pada Januari tetapi ditangguhkan sekali lagi pada Mac.
Menyambut pembebasan tebusan pada Isnin, Kallas menekankan peranan Presiden AS, Donald Trump dalam"pencapaian penting ke arah keamanan".
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, sidang kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh yang memuktamadkan perjanjian untuk menamatkan perang pada Isnin merupakan “tonggak sejarah”.
Ujarnya, blok itu “sepenuhnya menyokong pelan damai yang diusahakan oleh Amerika Syarikat, Qatar, Mesir dan Turkiye”.
Tambahnya, EU bersedia menyumbang bagi kejayaan pelan itu termasuk melalui “sokongan pentadbiran dan reformasi Pihak Berkuasa Palestin”.
EU diwakili di Sharm el-Sheikh oleh Antonio Costa, ketua Majlis Eropah yang mewakili negara anggota blok itu. - AFP