Kadar keberhutangan negara 'nyawa-nyawa ikan', perbelanjaan toksik dikhuatiri melonjak - Rafizi

Iklan
Rafizi ketika membahaskan RUU Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Kerajaan dikhuatiri tidak mampu menambahbaik kedudukan hutang negara dalam tempoh dua tahun berbaki penggal pentadbiran disebabkan kadar keberhutangan yang sentiasa 'nyawa-nyawa ikan' kerana terlalu dekat dengan had 65 peratus.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kerana itu, pengurusan hutang negara tidak lagi boleh berjalan seperti biasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penting untuk Jawatankuasa Pilihan Kewangan dan Ekonomi meneliti perkara berkenaan kerana Parlimen perlu memainkan peranan agar jumlah hutang dan khidmat bayaran hutang dikurangkan dengan drastik.

"Kita tidak boleh membuat rombakan-rombakan besar dalam perkara yang menyentuh poket rakyat atas nama pengukuhan fiskal, tetapi hal ehwal pengurusan hutang – dari bagaimana unjuran hutang baharu dibuat, kepada bagaimana kerajaan menerbitkan hutang-hutang ini, kekal di bangunan Perbendaharaan tanpa penelitian dan perbahasan yang panjang, baik oleh kementerian-kementerian lain atau Parlimen.

Iklan

"Adalah malang sekiranya di akhir penggal pentadbiran ini, kadar keberhutangan negara kekal tinggi melebihi paras 60 peratus kerana ia meneruskan amalan pentadbiran terdahulu yang mula melanggar garis asal 55 peratus yang dipinda," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjelaskan, hakikatnya Malaysia sangat terdedah kepada cabaran pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

Iklan

Katanya, pengumuman-pengumuman mengenai hasil tambahan daripada rampasan RM15.5 bilion, penjimatan subsidi dan langkah-langkah lain, tidak berjaya menutup jurang hasil yang dikutip bagi 2025 berbanding yang diunjurkan kerajaan.

"Dan cabaran itu makin besar bagi 2026 dan tahun mendatang. Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan dalam 4 hingga 4.5 peratus bagi 2026 untuk mendapat hasil RM343 bilion iaitu pertambahan RM9 bilion

"Pertumbuhan bagi 2025 mungkin antara 4 hingga 4.2 peratus jika kita bernasib baik, jadi ada kemungkinan pertumbuhan bagi 2026 jatuh di bawah paras 4 peratus, lebih rendah dari angka yang digunakan kerajaan untuk menganggarkan hasil bagi 2026," katanya.

Ujar beliau, perkara paling membimbangkan, perbelanjaan yang paling toksik, iaitu bayaran khidmat hutang terus melonjak meskipun segala perkara dilaksanakan.

"Setelah kita melalui pelbagai kesusahan untuk merombak kembali sistem subsidi supaya lebih bersasar, tetapi oleh kerana pengurusan hutang kita tidak dirombak dengan lebih menyeluruh, maka kesemua penjimatan itu digunakan untuk membayar khidmat hutang dan faedah yang naik mendadak," katanya.