Ka Ching: Acara bundle berpotensi jadi tarikan ekonomi baharu

Iklan
Fenomena pakaian bundle kini menjadi pilihan ramai anak muda yang mahu tampil bergaya tanpa perlu berbelanja besar. Gambar kecil: Hilli

INDUSTRI pakaian terpakai atau bundle dilihat berpotensi menjadi antara tarikan ekonomi kreatif baharu di Malaysia apabila semakin ramai anak muda menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup moden.

Pengurus Pemasaran Goodseed International Sdn Bhd, Hilli Fahmi berkata, walaupun budaya bundle bukan sesuatu yang baharu, trend itu kembali popular dalam kalangan generasi muda yang mengutamakan gaya, kreativiti dan nilai keunikan berbanding jenama semata-mata.

Iklan
Iklan

“Bundle mempunyai potensi pertumbuhan yang cerah kerana memiliki keunikan dan kelompok komuniti tersendiri dalam kalangan peminatnya.

“Tidak seperti pakaian baharu yang berdepan saingan produk murah dari China, perniagaan ‘thrifting’ mempunyai nilai eksklusif tersendiri kerana menawarkan barangan yang sukar didapati di tempat lain,” katanya ketika ditemui selepas rakaman episod ketiga program Ka Ching terbitan Sinar Harian, baru-baru ini.

Iklan

Tambahnya, Goodseed melihat potensi besar untuk menjadikan acara berkonsepkan bundle bukan sekadar medan jual beli tetapi platform memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan serta menarik minat pelancong dari luar negara.

“Goodseed diasaskan oleh empat individu dan sebenarnya bermula di Indonesia apabila kami membawa agensi kerajaan menyertai ekspo di sana serta berpeluang berjumpa dengan sebuah jenama tempatan bernama ‘Benih Baik’.

Iklan

“Berdasarkan pemerhatian, kami lihat terdapat kekurangan di Malaysia apabila terlalu banyak acara tempatan yang belum membantu perkembangan perniagaan secara menyeluruh. Justeru, kami mengambil peluang menubuhkan Goodseed bagi membantu PKS menembusi pasaran luar negara” katanya.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri kerana berbanding Indonesia, aktiviti jual beli bundle di negara itu diharamkan atas faktor melindungi industri tekstil tempatan.

“Indonesia merupakan pengeluar tekstil utama jadi kemasukan pakaian bundle boleh menjejaskan pasaran mereka. Sebaliknya di Malaysia, industri ini dibenarkan dan berpotensi dijadikan tarikan pelancong serta peminat fesyen luar negara.

“Negara kita juga mempunyai kelebihan untuk menjadi hab acara bundle serantau kerana apa yang tidak boleh dibuat di negara lain, boleh dilakukan di sini. Contohnya, Malaysia berjaya menarik pengunjung dari Brunei, Singapura dan Indonesia apabila pernah menjadi satu-satunya negara mempunyai acara Formula One (F1),” jelasnya.

Hilli berkata, acara berkonsepkan ‘thrifting’ juga dilihat mampu membuka peluang kepada usahawan mikro dan generasi muda untuk menceburi perniagaan sendiri tanpa memerlukan modal besar.

“Perniagaan pakaian terpakai ini mempunyai pasaran khusus. Jika pakaian itu jarang ditemui dan hanya dimiliki segelintir individu, itulah keunikan yang menjadikan industri ini terus berkembang serta kekal relevan.

“Acara seperti di Pasar Seni membuktikan gabungan elemen ekonomi kreatif dan budaya tempatan mampu menarik minat golongan muda. Lokasi ikonik itu menjadi tumpuan kerana keunikan suasananya yang mendorong anak muda berkongsi pengalaman di media sosial sekali gus mengukuhkan komuniti thrifting,” katanya.

Hilli bagaimanapun akui cabaran utama penganjur ialah persepsi masyarakat dan pihak pengurusan yang masih menganggap industri bundle sebagai sesuatu yang ‘murah’ atau tidak sesuai untuk acara di beberapa lokasi.

“Masih ada pengurusan pusat membeli-belah yang menolak penganjuran acara bundle kerana menganggap ia industri kotor dan murah. Hakikatnya, industri ini semakin berkembang serta menyumbang kepada amalan kitar semula dan kelestarian alam.

“Pasar Seni pula antara lokasi yang mesra aktiviti 'thrifting' kerana memahami keperluan menarik pengunjung muda. Jika mahu kekal relevan, penganjur perlu menerima minat dan cita rasa golongan ini,” kata beliau.

Jelasnya, acara bundle bukan sahaja berpotensi menarik pelancong, malah boleh digabungkan dengan elemen muzik dan makanan untuk menjadi tarikan utama bandar.

“Tiga perkara yang paling menarik minat golongan muda ialah muzik, makanan dan fesyen. Saya yakin sekiranya acara seperti ‘food fest’ digabungkan dengan elemen ‘thrifting’ dan muzik, ia pasti mampu menarik kehadiran ramai,” katanya.

Dalam masa sama, Hilli berharap lebih banyak sokongan diberikan oleh agensi kerajaan untuk memperkasakan industri pakaian terpakai dan acara tempatan berskala besar.

“Setakat ini, pihak swasta sudah mula melihat potensi dan menaja penganjuran acara melibatkan golongan muda namun kerajaan masih belum benar-benar menyedari nilai sebenar industri ini.

“Sekiranya diberi ruang dan sokongan, industri ‘thrifting’ berpotensi menjadi cabang ekonomi kreatif yang bukan sahaja menjana pendapatan tetapi turut membawa imej baharu kepada gaya hidup anak muda,” katanya.