MAIS agensi agama pertama laksana Sistem e-Muallaf bersama Jakim

Iklan
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tiga dari kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail (tiga dari kanan) ketika majlis menandatangani MoU di di Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada Isnin.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mencipta sejarah apabila menjadi Majlis Agama Islam negeri pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melaksanakan penggunaan Sistem e-Muallaf, pangkalan data maklumat saudara baharu terpusat di peringkat kebangsaan.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail, di Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Sabirin, pemeteraian MoU itu menandakan permulaan era baharu dalam pengurusan data muallaf di negara ini, sejajar dengan agenda transformasi digital dan integrasi data Islam di peringkat nasional.

“Kerjasama ini membuktikan kesungguhan MAIS dalam memimpin agenda transformasi digital serta menjadi peneraju dalam pembangunan ekosistem data Islam yang holistik, selamat dan bersepadu.

Iklan

“Sistem e-Muallaf akan menjadi rujukan utama dalam penyelarasan maklumat dan perkhidmatan kepada muallaf di seluruh negara selain memperkemas tadbir urus Islam agar lebih tersusun, cekap dan menyeluruh,” katanya.

Beliau menjelaskan, Sistem e-Muallaf dibangunkan oleh Jakim dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi merekod, menyelaras dan mengesahkan maklumat pengislaman serta bimbingan muallaf secara dalam talian.

Iklan

Melalui pelaksanaan MoU itu, MAIS akan mengintegrasikan data pendaftaran muallaf Selangor ke dalam Sistem e-Muallaf Jakim, menjadikan Selangor negeri perintis dalam pelaksanaan sistem berkenaan di peringkat negeri.

“Integrasi ini akan membuka jalan ke arah penyelarasan data muallaf yang lebih sistematik dan diiktiraf di peringkat kebangsaan.

“Sebelum ini, pengurusan data muallaf dikendalikan secara berasingan oleh setiap negeri, menyebabkan cabaran dalam pengesahan silang, penjejakan status dan penyaluran bantuan.

“Dengan adanya Sistem e-Muallaf, kita akan mempunyai pangkalan data nasional yang sah secara dalam talian, selamat dan seragam bagi menjamin setiap syahadah direkod serta diiktiraf secara rasmi,” katanya.

Tambah beliau, sistem itu juga akan memudahkan bimbingan dan bantuan rentas negeri selain menyokong dasar serta program dakwah berasaskan data sebenar.

Persefahaman itu akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula 13 Oktober 2025 hingga 12 Oktober 2027 dan pelaksanaannya dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama MAIS dan Jakim bagi menilai kemajuan, keselamatan maklumat serta keperluan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Menurut Mohd Sabirin, pelaksanaan Sistem e-Muallaf di Selangor turut menyokong Halatuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor 2025–2030, khususnya di bawah teras Digitalisasi Tadbir Urus dan Integrasi Data Islam Negeri.

“Harapan saya agar Sistem e-Muallaf ini dapat meningkatkan kecekapan dalam pengurusan pengislaman dan kebajikan muallaf di seluruh negara. MAIS sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan kepada asnaf muallaf agar ia kekal relevan dan berkesan,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pendaftaran Muallaf dan Pembangunan PIBK MAIS serta pihak Jakim atas komitmen dan kerjasama strategik menjayakan inisiatif berkenaan.