SHAH ALAM – Permintaan tinggi terhadap dadah di Malaysia serta beberapa negara lain menjadi antara punca sindiket pengedaran bahan terlarang itu tidak pernah berputus asa menjalankan kegiatan mereka walaupun berdepan tindakan berterusan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai rampasan dadah berjaya dilakukan hasil serbuan yang dijalankan di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah masih berleluasa dengan kebanyakan bekalan dipercayai diseludup dari negara jiran di bahagian utara tanah air.
"Kebolosan di sempadan sama ada melalui darat atau laut menjadi antara punca utama sindiket ini masih mampu meloloskan diri daripada kawalan pihak berkuasa.
"Keluasan kawasan perairan negara yang besar turut menyukarkan pemantauan menyeluruh serta memberi ruang kepada mereka untuk terus mencuba membawa masuk bekalan dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.
Hussein berkata, pihaknya sentiasa memperkukuh usaha penguatkuasaan dengan menumpukan siasatan bukan sahaja terhadap peringkat pengangkutan atau ‘transporter’, tetapi juga ke atas keseluruhan rangkaian sindiket pengedaran.
"JSJN turut mempertingkat kerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi mengekang cubaan membawa masuk dadah ke negara ini.
"Kita tidak hanya menumpukan kepada rampasan semata-mata, tetapi juga kepada usaha memutuskan rangkaian pengedaran di peringkat akar umbi supaya bekalan tidak sampai ke pasaran tempatan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi memantau pergerakan sindiket yang kini menggunakan pelbagai modus operandi termasuk penghantaran menerusi kurier dan barangan lain.