Tiada rakyat Malaysia dikesan terlibat dalam penyalahgunaan fentanyl - Polis

Iklan
Hussein

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa tiada rakyat tempatan yang ditahan atau dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis fentanyl setakat ini, susulan rampasan besar-besaran bahan terlarang itu pada Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang laporan berkaitan individu tempatan yang menggunakan dadah sintetik berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket antarabangsa dipercayai cuba membawa masuk fentanyl menggunakan kontena dari negara di sebelah timur dengan mengisytiharkan kandungan barangan sebagai bahan sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat dan belum ada rakyat tempatan yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis fentanyl.

Iklan

“Kita percaya cubaan membawa masuk bahan terlarang itu merupakan percubaan awal sindiket untuk memperkenalkan fentanyl ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Isnin.

Hussein berkata, hasil risikan mendapati sindiket antarabangsa berkenaan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai laluan transit sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran.

Iklan

“Mereka dipercayai menggunakan ruang dalam kontena untuk menyeludup dadah berkenaan dengan mengisytiharkannya sebagai penghantaran bahan sah.

“Bagaimanapun, hasil kerjasama pelbagai agensi, cubaan awal itu berjaya dikesan dan digagalkan,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun belum ada kes penyalahgunaan dikesan di Malaysia, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket dadah konvensional akan cuba memperkenalkan dadah sintetik moden itu dalam pelbagai bentuk termasuk cecair vape.

“Fentanyl ialah dadah sintetik berbahaya yang telah menyebabkan banyak kematian di luar negara.

“PDRM sentiasa berwaspada terhadap cubaan membawa masuk bahan ini ke negara ini,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa cubaan membawa masuk dadah jenis fentanyl dari negara Timur seberat hampir satu tan dipatahkan menerusi siri operasi serta serbuan polis di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka pada 19 Ogos lalu.

Dadah sintetik berbahaya itu dipercayai dibawa masuk oleh sindiket antarabangsa menerusi Pelabuhan Klang untuk pasaran negara jiran serta tempatan.

Rampasan besar itu dilakukan menerusi Op Black Ash yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.