'Ahmad Zahid tidak tahu berterima kasih’ - Lian Ker

Iklan
Ti Lian Ker

SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tidak tahu berterima kasih susulan kenyataannya yang mendakwa beberapa pemimpin MCA dan MIC ‘merajuk’ serta mahu keluar daripada gabungan itu kerana tidak mendapat ‘mainan’.

Lian Ker berkata, hakikatnya MCA dan MIC telah berdiri teguh bersama Presiden UMNO berkenaan ketika beliau berdepan pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Iklan
Iklan

“Mereka terus setia walaupun BN sedang tenggelam dan menanggung kerosakan politik akibat mempertahankan nama baik gabungan ini. Memperlekehkan kesetiaan itu adalah satu tindakan tidak tahu berterima kasih dan buta moral.

“BN memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan menghina; yang memulihkan maruah, bukan memperdagangkannya demi keselamatan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata bahawa satu kajian mendapati ahli-ahli MCA dan MIC tidak mahu parti itu meninggalkan BN yang telah mereka sertai selama berpuluh tahun.

Beliau berkata, terdapat segelintir pemimpin parti tersebut yang ‘merajuk’ apabila tidak diberikan ‘mainan’, namun suara mereka tidak mencerminkan sentimen sebenar akar umbi.

Iklan

Mengulas lanjut, Lian Ker mendakwa kenyataan Ahmad Zahid yang memperlekehkan MCA dan MIC seolah-olah mereka ‘mengemis mainan’ bukan sahaja menghina rakan komponen tetapi juga mencemarkan maruah serta asas penubuhan BN itu sendiri.

Menurutnya, BN diasaskan atas semangat hormat-menghormati, kesamarataan, konsensus dan perkongsian tanggungjawab antara parti-parti komponennya.

“Apabila Presiden UMNO memperkecilkan pandangan rakan-rakan komponen sebagai ‘meminta mainan’, ia mendedahkan keangkuhan, kehancuran moral dan keruntuhan kepimpinan.

“Ia telah menghakis maruah BN yang pernah dibanggakan, serta menjadi simbol keteguhan perpaduan dan kestabilan politik selama 60 tahun,” ujarnya.

Lian Ker turut mendakwa Ahmad Zahid diamanahkan untuk memulihkan maruah BN selepas kekalahan demi kekalahan pilihan raya, yang berpunca daripada skandal dan tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan UMNO oleh DAP.

Bagaimanapun dakwanya, Ahmad Zahid telah menukar amanah tersebut demi kepentingan peribadi.

“Keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang membebaskannya daripada pertuduhan rasuah mungkin menyelamatkan dirinya secara peribadi, tetapi ia telah memerangkap kredibiliti dan menenggelamkan integriti BN.

“Hari ini, Ahmad Zahid bebas, tetapi BN menjadi terhina. Beliau bebas selepas tunduk dan menyerah diri kepada pihak yang pernah menghina serta mendakwanya, sedangkan BN kini terperangkap dalam krisis maruah dan menanti penebusan.

“Hakikatnya, Zahid menyelamatkan dirinya bukan BN,” katanya.