INSIDEN jenayah seksual yang berlaku di sebuah sekolah di Melaka baru-baru amat mengejutkan dan menyedihkan.
Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat mendidik dan membentuk sahsiah pelajar nampaknya sudah dicemari perlakuan tidak bermoral oleh pelajar sendiri.
Ini bukan sekadar isu disiplin malah tanda jelas betapa parahnya gejala sosial yang semakin berakar dalam kalangan remaja hari ini.
Sudah sampai masanya satu transformasi perlu dilakukan segera dalam sistem keselamatan sekolah. Kita perlu menerima hakikat bahawa perilaku pelajar sekarang tidak sama dengan pelajar 30 atau 40 tahun lalu.
Ramai yang mendesak agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan semula hukuman rotan di sekolah. Ini mungkin boleh dipertimbangkan semula kerana hukuman seperti itu sedikit sebanyak menggerunkan pelajar.
Generasi terdahulu yang pernah merasai hukuman rotan sudah membuktikan mereka lebih berdisiplin, menghormati guru serta patuh dengan peraturan.
Namun sejak hukuman itu dihapuskan, kita dapat melihat peningkatan kes pelajar biadab, ponteng, bergaduh, malah terlibat dengan jenayah yang tidak sepadan dengan usia mereka seperti mencuri dan rogol.
Benar, rotan bukanlah penyelesaian tunggal, tetapi sekurang-kurangnya boleh menjadi elemen penting dalam usaha memulihkan disiplin di sekolah.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ini perlu ada garis panduan yang ketat.
Antaranya, hukuman dikenakan untuk kesalahan berat, tidak sampai mencederakan dan dilaksanakan oleh guru disiplin yang terlatih.
Hukuman juga bukan di khalayak ramai bagi menjaga air muka pelajar.
Selain hukuman rotan, dalam masa sama KPM perlu terus memperluaskan audit keselamatan di semua sekolah.
Setakat ini sebanyak 700 buah sekolah sudah diaudit namun jumlahnya jauh lebih kecil berbanding keseluruhan kira-kira 10,000 sekolah di negara ini.
Pun begitu, cara paling berkesan dalam menangani masalah sosial pelajar sebenarnya ialah penekanan pendidikan moral dan agama di sekolah, selain peranan semua pihak terutama ibu bapa.