Subsidi petrol bantu pengguna ringan kos sara hidup

Iklan
Program BUDI95 meringankan beban kos sara hidup sekali gus memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar. Gambar dari kiri Siti Marian, Yusazli dan Zaleha.

SHAH ALAM - Rata-rata pengguna menyambut baik program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang meringankan beban kos sara hidup sekali gus memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.

Pengguna, Siti Mariam Misnan, 36, percaya penyaluran secara langsung kepada individu layak membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan disasar dengan lebih berkesan.

Iklan
Iklan

“Sangat bersyukur kerana bantuan ini benar-benar sampai kepada rakyat. Selain membantu jimatkan kos harian, ia juga mengelakkan salah guna pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Bagi Yusazli Ahmad Yusuf, 49, kuota 300 liter sebulan melalui BUDI95 cukup untuk menampung keperluan penggunaan harian terutama individu yang berulang-alik bekerja setiap hari.

Iklan

Katanya, jumlah itu memudahkan pengguna merancang penggunaan bahan api dengan lebih bijak dari segi perjalanan seharian dan pengisian minyak sekali gus mengawal perbelanjaan bulanan.

“Sebagai pengguna, kita boleh anggar sendiri berapa liter yang digunakan setiap hari, jadi lebih mudah untuk kawal perbelanjaan. Setakat ini, saya tidak berdepan masalah," katanya.

Iklan

Zaleha Yunos, 70, pula memberitahu pelaksanaan BUDI95 sangat membantu golongan ibu tunggal seperti dirinya yang bergantung kepada kenderaan untuk menjalankan urusan harian.

“Sekarang lebih mudah isi minyak tanpa rasa terbeban. Sistemnya cekap dan prosesnya tidak rumit. Saya belajar sendiri pun boleh faham walaupun sudah berusia, memang mesra pengguna,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan rakyat tempatan menikmati subsidi RON95 RM1.99 berbanding RM2.05 seliter mulai 30 September tanpa mengira pendapatan.

Menerusi BUDI95, setiap penduduk Malaysia diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan manakala bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter mulai tarikh sama.

Selain itu, kelayakan sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) diperluas kepada tiga kelompok baharu melibatkan lebih 31,000 rakyat di seluruh negara.

Lebih 17,900 nelayan berdaftar, lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar serta lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu turut menikmati kemudahan tersebut.

Menurut Kementerian Kewangan pada 7 Oktober, mereka sebahagian lebih 16 juta rakyat yang menikmati kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

Kerajaan pada 1 Oktober juga bersetuju memberi manfaat tambahan subsidi RON95 kepada pemandu p-panggilan sepenuh masa mulai pertengahan Oktober.

“Pemandu tidak perlu memohon secara individu kerana urusan dibuat bersama syarikat pengendali p-panggilan,” kata kenyataan.