Penyanyi, model terkenal mati ditembak tiga kali

Iklan
Fede Dorcaz

DUNIA hiburan Amerika Latin dikejutkan dengan pembunuhan tragis penyanyi dan model terkenal Argentina, Fede Dorcaz, yang ditembak mati oleh sekumpulan penjenayah bermotosikal di Mexico City, hanya beberapa hari sebelum beliau dijadualkan muncul dalam rancangan realiti televisyen popular.

Menurut kenyataan Sekretariat Keselamatan Warga Mexico City, Dorcaz, 29 tahun, ditembak tiga kali, termasuk satu tembakan di leher, dalam kejadian di kawasan Amplacion Daniel Garza pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa belum mengumumkan sebarang tangkapan dan masih menyiasat motif kejadian, namun laporan awal menyebut insiden itu dipercayai cubaan rompakan bersenjata.

Laporan The Hollywood Reporter memetik sumber mengatakan Dorcaz baru pulang daripada latihan tarian apabila kenderaannya dipintas dua motosikal, sebelum penyerang melepaskan beberapa das tembakan.

Iklan

Hanya beberapa hari kemudian, Dorcaz sepatutnya membuat kemunculan sulung dalam rancangan 'Las Estrellas Bailan En Hoy' (Bintang Menari Hari Ini), sebuah pertandingan tarian popular di Mexico yang kini meratapi pemergian bintang muda berbakat itu.

“Keluarga besar HOY berduka atas pemergian rakan dan sahabat kami, Fede Dorcaz,” kata kenyataan rasmi program tersebut di platform X .

Iklan

Dikenali menerusi lagu popular 'No Eres Tú' dan 'Cara Bonita' yang masing-masing menduduki 10 tangga teratas carta radio Mexico, Dorcaz juga pernah menjadi peragawan untuk jenama mewah Giorgio Armani dan Dolce & Gabbana.

Beliau mula dikenali selepas berpindah ke Mexico lima tahun lalu untuk mengembangkan karier muziknya dan pernah menyatakan cita-cita untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Setakat ini, pihak polis masih menjejaki penyerang bermotosikal yang melarikan diri selepas kejadian. Pihak berkuasa Mexico turut menambah kawalan di kawasan kejadian yang sering menjadi lokasi aktiviti jenayah bersenjata.

Tragedi ini sekali gus menyerlahkan peningkatan kadar jenayah jalanan di Mexico City, termasuk kes rompakan bersenjata terhadap artis dan warga asing yang bekerja di industri hiburan negara itu.-Agensi