RM400 juta diperuntuk bina infrastruktur air tingkat hasil pesawah – KPKM

Iklan
Luqman (empat dari kanan) melihat padi yang sedia untuk dituai. - Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menumpukan usaha memastikan setiap peruntukan kerajaan bagi sektor pertanian digunakan sepenuhnya di lapangan, termasuk pelaksanaan 18 projek bernilai RM400 juta yang membabitkan pembangunan infrastruktur air.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Luqman Ahmad berkata, antara cabaran utama yang dikenal pasti dihadapi petani ialah masalah bekalan air khususnya dalam sektor penanaman padi.

Iklan
Iklan

Justeru, katanya, projek berkenaan termasuk menaik taraf sistem tali air dan kemudahan sokongan pertanian di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Kami menerima maklum bahawa masalah air menjadi aduan paling besar daripada petani.

Iklan

“Sebab itu, kerajaan meluluskan 18 projek ini bagi menyelesaikan isu bekalan air untuk meningkatkan hasil dan produktiviti pesawah,” katanya kepada pemberita pada Program Penuaian Padi Kawasan Bachok di Kampung Keting, di sini, pada Ahad.

Luqman (kiri) memegang keladi agas yang mengganggu tanaman padi. FOTO SINAR HARIAN – ADILA SHARINNI WAHID

Iklan

Menurut beliau, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada dana yang diterima KPKM melalui Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Sabtu.

“Daripada jumlah RM400 juta itu, sebanyak RM28 juta akan digunakan bagi projek pembinaan stesen pam kedua di Pasir Mas.

“Baki 17 projek lain akan diperincikan dalam mesyuarat esok,” katanya.

Beliau menegaskan, isu air menjadi fokus utama kerajaan dalam usaha membantu petani meningkatkan hasil pertanian negara, selain penyediaan bantuan input pertanian seperti baja dan racun.

“Isu ini akan diselesaikan secara berperingkat mengikut keupayaan kerajaan. Walaupun tidak dapat dilakukan sepenuhnya dalam tempoh setahun, kami akan memastikan kaedah terbaik digunakan bagi menyelesaikan masalah air ini.

“Selain itu, ketika ini pesawah turut berdepan ancaman keladi agas yang menjejaskan hasil padi,” katanya.