Cedera bukan penghalang: Dr Kjey cipta hatrik rekod kebangsaan

Iklan
Kjey bersama tiga sijil MBOR sempena sambutan Hari Sukan Negara 2025 di Kuala Lipis pada Sabtu.

LIPIS – Biarpun mengalami kecederaan belakang, atlet dan pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar, 28, atau lebih dikenali sebagai Dr Kjey sekali lagi membanggakan negara apabila mencipta hatrik rekod kebangsaan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat negeri yang berlangsung di Kuala Lipis pada Sabtu.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mencatat kejayaan luar biasa sekali gus mengangkat namanya sebagai rakyat Malaysia pertama yang berjaya mencipta tiga rekod kebangsaan secara serentak dalam tempoh dua hari.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu turut diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) apabila Dr Kjey menyelesaikan tiga cabaran ketahanan fizikal ekstrem 3,000 ulangan leg extensions dan 3,000 leg squat terbanyak dalam tempoh tiga jam pada Sabtu.

Beliau turut mencatatkan 3,000 ulangan 'jumping jacks' terbanyak dalam tempoh sama, menjadikan pencapaian berganda itu sebagai simbol ketahanan mental dan fizikal luar biasa.

Iklan

Ketiga-tiga pencapaian berkenaan disahkan oleh wakil MBOR yang hadir di lokasi acara, dengan penyampaian sijil rasmi menjadikan detik bersejarah tersebut antara sorotan utama sambutan HSN di sini.

Menurut Dr Kjey, persiapan untuk melakukan hatrik itu berdepan pelbagai cabaran dan memerlukan pengorbanan besar.

Iklan

Kejayaan yang dicatatkan oleh Kjey pada HSN peringkat negeri di Lipis pada Sabtu.

“Saya telah berlatih hampir 10 bulan untuk rekod ini dengan diet ketat tanpa gula, minyak dan garam.

“Seminggu sebelum percubaan, saya mengalami kecederaan belakang, namun saya tidak menyerah. Saya bangkit semula dan berjaya melakukannya,” katanya.

Beliau menjelaskan, kejayaan tersebut bukan sekadar mengenai kekuatan fizikal, tetapi juga disiplin, kepercayaan diri dan semangat yang tidak pernah luntur.

“Hatrik ini sangat bermakna bagi saya. Sasaran seterusnya adalah untuk mempertahankan rekod dunia pada tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Kjey turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu kejayaannya.

Sebelum ini, beliau mencatat pelbagai pencapaian antarabangsa termasuk memegang rekod dunia dan kebangsaan untuk 12 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti pada 2023.

Dr Kjey juga merupakan pemegang rekod Asia bagi 13 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti, serta rekod dunia 15 jam tanpa henti bagi cabaran sama tahun lalu.