KUALA LUMPUR – Menjadikan kediaman mewah sebagai pusat operasi perjudian dalam talian antara taktik yang berjaya dibongkar dalam satu serbuan di sekitar Jalan P Ramlee di sini pada Khamis lalu.
Operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu turut mengesan taktik sindiket yang dikendalikan oleh warga China, yang menyasarkan pasaran luar negara dengan menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp sebagai medium promosi dan komunikasi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Dalam serbuan yang bermula pada jam 3.50 petang, pasukan berjaya menahan 10 lelaki dan seorang wanita warganegara China berusia antara 20 hingga 40 tahun.
"Semakan awal mendapati dua daripada mereka memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), lima lagi tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala tiga lelaki dan seorang wanita tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan di lokasi turut menemui pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian dalam talian.
"Antara yang dirampas termasuk 11 komputer riba, tiga set komputer, tujuh telefon bimbit, serta wang tunai berjumlah RM3,900.
"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi dari unit kediaman mewah yang telah diubah suai menjadi pusat pengendalian laman perjudian dalam talian," ujarnya.
Menurutnya, dua lelaki ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, lima lelaki disiasat di bawah Seksyen 15(4), Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh, manakala tiga lelaki dan seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 6(3), akta yang sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"JIM akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara kekal terpelihara," tegasnya.