SHAH ALAM – Sanggup melawan arus demi mengelak ditahan antara tindakan nekad dilakukan oleh beberapa penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika operasi besar-besaran dijalankan di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berhampiran Plaza Tol Bukit Raja, awal pagi Ahad.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati sebahagian besar penunggang motosikal menjadikan laluan lebuh raya berkenaan seolah-olah litar lumba, selain menguji kehebatan ‘jentera’ yang ditunggang.
Selain itu, ratusan penunggang turut didapati tidak mempedulikan pengguna jalan raya lain apabila berkumpul di kawasan tol tersebut sebelum operasi dijalankan.
Ada juga yang beraksi secara berbahaya termasuk meniarap di atas motosikal, menunggang secara zig-zag serta menghalang laluan kenderaan lain.
Bagaimanapun, suasana menjadi kelam-kabut apabila sebahagian penunggang berpatah balik dan melawan arus sebaik menyedari kehadiran anggota polis.
Dalam operasi sama, cubaan seorang penunggang motosikal untuk bersembunyi di sebalik pokok berhampiran plaza tol bagi mengelak daripada ditahan turut berjaya dikesan oleh anggota polis yang bertugas.
Individu berkenaan, yang dipercayai remaja belasan tahun, memberikan alasan kononnya baru pulang dari hospital selepas menziarahi saudara yang sakit.
Namun, pemeriksaan lanjut mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen memandu, selain motosikal yang ditunggang telah diubah suai dan tidak mematuhi spesifikasi asal.
Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 112 anggota pelbagai agensi dan dijalankan bermula jam 10 malam di Lebuhraya NKVE dari Plaza Tol Bukit Raja menghala ke susur Setia Alam.
"Operasi ini digerakkan hasil risikan serta pemantauan yang mendapati berlaku aktiviti lumba haram dan aksi berbahaya yang dijalankan secara berkumpulan di kawasan berkenaan.
"Bagi memastikan keselamatan pengguna, pihak polis kemudiannya melakukan penutupan kedua-dua arah laluan sekitar jam 2.30 pagi bagi mengepung penunggang motosikal terbabit," katanya dalam sidang media di lokasi operasi pada Ahad.
Beliau berkata, sebanyak 420 motosikal diperiksa, manakala 58 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Antara kesalahan utama yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, ubah suai struktur kenderaan, tiada cermin sisi, cukai jalan tamat tempoh serta nombor pendaftaran tidak dipamerkan.
"Sebanyak 568 saman dikeluarkan, manakala tujuh penunggang dibawa ke Balai Trafik IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki terlibat dalam perlumbaan haram di antara Kilometer 0.1 hingga 0.9 Lebuhraya NKVE," katanya.
Mohd Rozi menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba, dan operasi seumpamanya akan diteruskan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang membahayakan pengguna lain.