MMA nasihat orang ramai ambil langkah cegah jangkitan influenza

Iklan
Pemeriksaan awal membolehkan rawatan diberikan dengan cepat.

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan kekal bertenang dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya berikutan peningkatan kes Influenza A dan B yang kini dipantau rapat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, walaupun terdapat peningkatan kluster dilaporkan, keadaan itu tidak luar biasa memandangkan ia berlaku dalam musim penularan semasa.

Iklan
Iklan

"Amalkan langkah pencegahan asas seperti menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta memakai pelitup muka jika berasa tidak sihat atau berada di kawasan sesak.

"Individu yang mengalami gejala seperti demam tinggi berpanjangan, batuk teruk, sesak nafas, sakit dada atau simptom yang tidak menunjukkan tanda pemulihan selepas beberapa hari perlu segera mendapatkan rawatan perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau mengingatkan, pemeriksaan awal membolehkan rawatan diberikan dengan cepat, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi.

"Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mempertimbangkan pengambilan vaksin influenza sekiranya tersedia," ujarnya lagi.

Iklan

Tegasnya, masyarakat dapat mengawal penularan jangkitan dan melindungi kesihatan komuniti secara keseluruhan dengan tahap kewaspadaan dan tindakan bertanggungjawab.