BATU GAJAH – Kerajaan negeri Perak akan meneruskan pelaksanaan program jelajah ke seluruh daerah bagi memastikan usahawan dan koperasi tidak terlepas peluang menikmati pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, dalam pembentangan belanjawan itu banyak insiatif disediakan kerajaan Persekutuan untuk golongan usahawan dan koperasi.
Menurutnya, program jelajah yang dilaksanakan penting bagi membolehkan golongan berkenaan mengetahui dengan lebih dekat pelbagai bantuan serta kemudahan disediakan kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Program jelajah ini kita sudah mula sejak 2023 lagi dan akan terus dilaksanakan. Tujuannya untuk menyediakan platform kepada usahawan mengetahui inisiatif kerajaan serta mempamer dan menjual produk mereka.
“Usahawan kita kena peka. Kadang-kadang bila tawaran sudah habis, baru mereka nak mohon. Sebab itu program jelajah ini penting supaya semua usahawan tahu peluang yang disediakan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Coopfest dan Jelajah Usahawan Negeri Perak 2025 di Arena Square Batu Gajah di sini pada Sabtu.
Sementara itu Salbiah berkata, program Coopfest pula diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada koperasi cemerlang termasuk tiga koperasi negeri ini yang berjaya tersenarai dalam 100 koperasi terbaik Malaysia.
"Tahun ini, Perak mempunyai sembilan koperasi yang berada dalam senarai 100 koperasi terbaik seluruh negara dan tiga daripadanya kita pilih sebagai koperasi terbaik negeri.
"Ia diharap menjadi pencetus semangat mereka selain pemangkin untuk koperasi lain berdaya saing,” katanya.
Mengulas prestasi koperasi di Perak, Salbiah berkata, berlaku peningkatan positif termasuk pencapaian Koperasi Guru-Guru Malaysia Berhad yang kini berada di tangga ke-18 berbanding kedudukan ke-21 tahun lalu.
Beliau turut menjelaskan, kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor koperasi menerusi program Gerakan Koperasi (GKOP) Urus dan GKOP Pulih bagi menghidupkan semula koperasi tidak aktif dengan bantuan peruntukan negeri.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Geran Usahawan Perak (Gerak) berjumlah RM1.35 juta bagi tahun ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh 838 penerima di seluruh negeri.
Menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026 hujung tahun ini, Salbiah berharap peruntukan untuk sektor usahawan dan koperasi dapat ditambah bagi memperluas impak program sedia ada.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, antara inisiatif disediakan kerajaan termasuklah pembiayaan PMKS halal melalui SME Bank dengan peruntukan RM100 juta manakala Tekun Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut menerima RM50 juta dana pembiayaan bagi menyokong gerakan koperasi di seluruh negara diikuti RM200 juta pinjaman menerusi Program Jaguh Serantau SME Bank bagi membantu PKS Bumiputera menembusi pasaran eksport.
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disalurkan RM230 juta tambahan menjadikan jumlah keseluruhan dana berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 usahawan.