SHAH ALAM - Belanjawan 2026 membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi ekonomi menyeluruh, demikian rumusan pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Menurutnya, belanjawan kali ini disediakan lebih teliti dengan mengambil kira kepentingan golongan minoriti yang amat memerlukan perhatian.
Sebagai contoh, beliau menekankan inisiatif kerajaan mengumumkan pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin, insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup kepada pekerja gig, e-hailing dan p-hailing serta pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, program intervensi awal serta rawatan pemulihan berterusan bagi anak kurang upaya berumur 18 tahun ke bawah dinaikkan kepada RM10,000 berbanding RM6,000.
“Kerajaan menunjukkan mereka menangani semua elemen suara rakyat dengan secukupnya,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambah Barjoyai, komitmen itu turut dibuktikan menerusi inisiatif penjimatan daripada penyasaran subsidi dipulangkan kepada rakyat melalui pelbagai program bantuan langsung dan insentif sambil mengekalkan disiplin fiskal ketat untuk kestabilan ekonomi jangka panjang.
“Belanjawan 2026 menyaksikan satu skop pengembangan jumlah dana di mana kerajaan berani menaikkan jumlah peruntukan selain menyasarkan tiga strategi penting iaitu meningkatkan siling pertumbuhan ekonomi lebih deras, meningkatkan lantai (tambah kesejahteraan isi rumah) serta menstruktur ekonomi demi mendepani daya tahan iklim ekonomi dunia.
“Belanjawan 2026 juga wajar dipuji kerana memberi tumpuan dalam aspek kelestarian alam seperti fokus pembangunan ekonomi hijau, kelestarian pembangunan berdasarkan tenaga bersih serta fokus penyediaan akses tenaga dan air bersih kepada rakyat bernilai RM5.19 bilion,” ujarnya.
Bagaimanapun, Barjoyai menyuarakan kebimbangan di atas keputusan kerajaan menaikkan peruntukan untuk Kementerian Pertahanan (Mindef) kepada RM21.7 bilion manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) RM21.2 bilion menerusi Belanjawan 2026.
Ujarnya, peningkatan peruntukan untuk pembelian aset ketenteraan dilihat bukan keutamaan semasa memandangkan Malaysia mengambil ketetapan sebagai sebuah negara berkecuali dan tidak memerlukan kekuatan ketenteraan yang besar.
“Bagaimanapun, pemantauan ketat mengenai tatakelola pengguna peruntukan amat diperlukan bagi mengelakkan dana terbabit disalurkan ke tempat tidak sepatutnya,” tegasnya.