Belanjawan 2026 kukuh keterjaminan makanan negara

Iklan
Dengan peruntukan sebanyak RM6.87 bilion, KPKM yakin pelbagai cabaran dalam sektor itu dapat ditangani dengan lebih efektif. (Gambar kecil: Mohamad)

SHAH ALAM – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan rakyat yang memperkukuh asas keterjaminan makanan negara dan memacu pembangunan sektor agromakanan secara menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan peruntukan sebanyak RM6.87 bilion, KPKM yakin pelbagai cabaran dalam sektor itu dapat ditangani dengan lebih efektif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan peruntukan sebanyak tujuh peratus berbanding tahun 2025 juga selaras dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) yang menekankan aspek pemodenan, kelestarian dan kesejahteraan golongan sasar termasuk pesawah, nelayan serta usahawan tani.

"Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan berkualiti di samping mempertingkatkan produktiviti sektor agromakanan.

Iklan

"Kejayaan penyasaran semula subsidi di bawah KPKM telah menjimatkan perbelanjaan negara melalui pengapungan harga ayam, telur dan penyasaran semula subsidi diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamad berkata, melalui penjimatan tersebut, kerajaan kini memberi tumpuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan melalui peningkatan pengeluaran tempatan.

Iklan

Ujarnya, antara langkah diambil termasuklah menyediakan RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri untuk memanfaat penggunaan tanah bagi projek pertanian.

Katanya, selain itu, sebanyak RM55 juta disediakan bagi menyokong pengusaha buah-buahan tempatan antaranya insentif tanaman dan prasarana ladang nanas termasuk di Sarawak serta tanaman buah-buahan yang lain seperti durian belanda, jambu air dan limau besar (limau bali).

"Dalam usaha memperkukuh industri padi negara, beberapa inisiatif besar akan dilaksanakan. Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun akan diteruskan dengan pembangunan Sistem Pengairan Tersier Fasa 1 di kawasan MADA, Kedah dan Perlis yang dijangka siap secara berperingkat sehingga suku kedua tahun 2030.

"Selain itu, Projek Pemindahan Air Jeniang dengan kos RM1.28 bilion akan dimulakan pada tahun 2026. Bagi memulihkan tanah sawah bermasalah dan menaik taraf prasarana pertanian, dana sebanyak RM100 juta diperuntukkan termasuk pelaksanaan model sawah berteknologi moden.

"Tambahan pula sebanyak RM20 juta disediakan untuk membekalkan baja foliar dan bahan kesuburan tanah kepada 6,400 pesawah bagi meningkatkan hasil tuaian," ujarnya.

Menurut beliau, dalam aspek kebajikan pesawah, kerajaan menyediakan sebanyak RM2.62 bilion untuk pelbagai subsidi dan insentif merangkumi subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih dan insentif pengeluaran padi.

Ujarnya, bermula 2025, kadar insentif pembajakan dan racun masing-masing dinaikkan kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim.

"Sebagai tambahan, kerajaan turut memperkenalkan insentif baharu iaitu Insentif Penuaian Padi RM50 sehektar semusim bagi menampung peningkatan kos penuaian berikutan penyasaran semula subsidi diesel dan diteruskan pada 2026.

"Secara keseluruhan, setiap pesawah dijangka menerima insentif bernilai RM4,300 sehektar semusim pada tahun 2026, berbanding RM3,790 sehektar semusim sebelum ini," tambahnya.

Beliau berkata, bagi menyokong perkembangan usahawan tani dan menggalakkan pemodenan sektor pertanian, sejumlah RM1.1 bilion pembiayaan akan disediakan Agrobank untuk membantu pengembangan perniagaan serta menyokong penggunaan teknologi automasi dan mekanisasi.

Selain itu, jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk Program Agropreneur NextGen KPKM yang menawarkan geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian.

"Dalam pada itu, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030 bagi syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran makanan untuk tempoh sepuluh tahun serta bagi syarikat sedia ada yang melaksanakan projek pembesaran selama lima tahun.

"Galakan cukai automasi dalam sektor pertanian bagi penanaman, penternakan, apikultur, akuakultur dan perikanan laut dalam turut diperluas kepada penternakan haiwan terpilih secara sistem reban tertutup bagi menggalakkan automasi untuk menambah produktiviti pertanian," ujar beliau.

Menurut Mohamad, kesejahteraan nelayan turut menjadi perhatian utama kerajaan, insentif hasil tangkapan disediakan sebanyak RM160 juta, manakala elaun sara hidup mereka dikekalkan sehingga RM300 sebulan.

Ujarnya, diesel bersubsidi juga dikekalkan pada harga RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.

"Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk membina atau membaik pulih 380 buah rumah nelayan, sementara RM20 juta lagi disediakan untuk menaik taraf vesel bagi mengurangkan kebergantungan kepada tekong dan kru asing.

"Projek ini juga merangkumi penggantian pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot bagi bagi mengurangkan vesel tidak lestari," katanya.