PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menekankan budaya sihat kepada warganya dalam menjalankan tugas sebagai agensi penguat kuasa.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, sebagai agensi penguat kuasa, kesihatan dalam menjaga tubuh badan, fizikal dan mental amat penting sebagai petugas di barisan hadapan.
"Kita bekerja seharian dan perlu diimbangkan kesihatan fizikal dan minda. Saya mahu warga JKDM kekal sihat dalam mendepati tugasan-tugasan seharian.
"Ini amat penting bagi melahirkan warga JKDM yang cergas dan sihat selain berintegriti," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Larian Integriti Kastam 2025 di sini pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Abu Bakar@Salleh Jambol.
Program itu turut menempatkan reruai pameran JKDM selain penglibatan pelbagai agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mengulas lanjut mengenai penganjuran program larian terbabit, kata Anis Rizana, ia merupakan satu program bermakna dan pertama buat JKDM selain sempena Hari Sukan Negara (HSN).
Tambahnya, sambutan amat memberangsangkan melibatkan hampir 5,000 peserta termasuk dari luar negara membabitkan kategori 21 kilometer (KM), 10KM, 5KM serta 3KM.
"Hari ini kita juga gabungkan bersama HSN bersama Hari Integriti yang bakal disambut November depan. Alhamdulillah objektif larian tercapai dan terima kasih juga kepada Kementerian Belia dan Sukan yang membantu dalam meraikan HSN," ujarnya.